Penurunan kadar sewa PPRT ringankan beban penduduk

Penurunan kadar sewa PPRT ringankan beban penduduk

Penduduk flat projek perumahan rakyat termiskin (PPRT) Lembah Subang kini boleh menarik nafas lega apabila berpeluang menikmati penurunan kadar sewa bulanan berjumlah RM124 sebulan.

Penurunan kadar sewa daripada RM250 sebulan itu diharap dapat meringankan beban penduduk yang rata-ratanya berpendapatan rendah apabila Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bertindak menurunkan kadar sewa bulanan sebanyak RM124 sebulan.

Ahli Majlis MBPJ, Zon 4, Mohd Halil Harun berkata,buat masa ini, pelaksanaanya dilakukan secara berperingkat bagi memastikan hanya penduduk yang layak sahaja menikmatinya.

Katanya, penurunan kadar sewa itu diharap dapat meringankan beban penduduk berpendapatan rendah terutamanya ibu tunggal dan warga emas.

“Saya berharap berita baik ini dapat menceriakan penduduk PPRT Lembah Subang yang sebelum ini merungut kerana mendakwa kadar sewa di situ terlalu mahal.

“Saya juga berharap, selepas penurunan kadar sewa ini, tidak ada lagi kes penduduk yang mempunyai jumlah bil sewa tertunggak yang tinggi,”katanya.

Dalam pada itu, Mohd Halil berkata, ketika ini masih wujud rungutan di kalangan penduduk yang mahu penurunan kadar sewa PPRT itu diseragam dan dilaksanakan dalam kadar segera.

See also  Malaysians overwhelmingly support end to single-use plastics

Katanya, penduduk perlu bersabar kerana pihaknya sedang meneliti senarai nama penduduk yang layak menikmati penurunan kadar sewa tersebut.

“Bagi memastikan hanya penduduk yang benar-benar layak sahaja menikmati penurunan kadar sewa itu, kita telah menubuhkan Jawatankuasa Industri dan Penswastaan.

“Di bawah jawatankuasa itu, kita cuba mengenal pasti pasti penduduk dan jika didapati layak mereka tidak ada masalah untuk menikmati penurunan kadar sewa berkenaan,”katanya.

Katanya lagi, proses mengenal pasti penduduk yang layak bukannya sesuatu yang mudah kerana ada penduduk yang tidak mempunyai maklumat yang lengkap.

“Ini bukan satu proses yang mudah kerana ada maklumat penduduk yang tidak lengkap. Malah dalam sesetengah kes ada yang menipu,”katanya.

Pada masa sama, Mohd Halil mahu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melakukan pemantauan bagi memastikan penduduk yang sudah menerima penurunan kadar sewa tidak menyewakan rumah mereka kepada orang lain.

Penduduk gembira kadar sewa diturunkan

Rata-rata penduduk PPRT Lembah Subang yang ditemui sudah menikmati penurunan kadar sewa sebanyak RM124 sebulan daripada MBPJ.

Seorang penduduk warga emas yang ditemui, Arapiah Tahat, 70, berkata, penurunan kadar sewa itu amat mengembirakannya memandangkan beliau tidak mempunyai pendapatan tetap.

See also  PHC addresses cable car project approval concerns

Katanya, sebelum ini beliau tidak dapat tidur lena akibat bimbang rumahnya disita pihak berkuasa kerana tidak mampu membayar sewa berjumlah RM250 yang tertunggak selama empat bulan.

“Saya berterima kasih kepada pihak majlis yang menurunkan kadar sewa rumah saya,”katanya.

Seorang ibu tunggal, Zaleha Nasir, 44, turut gembira dengan penurun kadar sewa tersebut.

Pekerja kilang itu, kini tidak lagi terlalu memikirkan perbelanjaan rumahnya disamping dapat menghantar wang saku setiap bulan kepada anak sulung lelakinya yang kini menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

“Saya amat bersyukur dengan penurun kadar sewa ini. sebelum ini, saya terlalu sedih memikirkan kadar sewa yang terlalu tinggi,”katanya.

Info – kadar sewa PPRT Lembah Subang

*Sewa- RM124
*Penduduk terdiri daripada mangsa bencana, pemindahan setinggan layak menikmati penurunan kadar tersebut
*Penyewa (orang luar) perlu membayar sewa bulanan sebanyak RM250 sebulan dan tidak layak menikmati penurunan kadar sewa