Penganjuran SportsUnite erat hubungan antara kaum

Penganjuran SportsUnite erat hubungan antara kaum

Oleh Ahmad Fadzly Esa

Kira-kira 800 pelajar pelbagai peringkat usia termasuk ibu bapa sekitar Lembah Klang menyertai pertandingan sempena sambutan ulang tahun ke 6 penubuhan SportsUnite di Taman Sukan Lasak, Shah Alam semalam.

Pengerusi Kelab Sukan SportsUnite, Datuk Dina Rizal  ketika ditemui Komunitikini berkata, beliau gembira dengan kemeriahan  serta sambutan yang diberikan oleh pelajar dan ibu bapa.

Menurutnya  dalam sambutan ulang tahun ke 6, terdapat empat jenis sukan yang dipertandingkan iaitu permainan futsal, bola jaring, bola keranjang dan kavadi.

“Syarat utama pertandingan ialah setiap pasukan diwajibkan mempunyai ahli atau peserta terdiri daripada dua kaum yang berlainan.

“Itulah kelainan yang cuba ditonjolkan dalan kelab sukan SportsUnite di mana elemen perpaduan  diterapkan dalam setiap sukan yang dipertandingkan,”katanya.

Dina berkata,  semangat perpaduan, setiakawan dan muhibbah merupakan  intipati utama yang cuba diterapkan dalam sanubari peserta  selaras dengan konsep 1Malaysia diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ditanya mengenai cabaran yang ditempuhi sepanjang penglibatannya dalam kelab sukan, katanya, banyak cabaran yang beliau  telah tempuhi sejak daripada awal penubuhan kelab tersebut.

Menurutnya, tidak susah untuk menjayakan program berbentuk komuniti kerana setiap kali pertandingan diadakan, ia menerima sambutan menggalakan daripada pelbagai golongan bangsa tanpa mengira usia.

See also  Sivasangari awarded special prize money for London Classic win

“Kalau niat kita baik, Insyallah, kita akan berjaya menganjurkan pertandingan seperti ini, terima kasih kepada pelajar ibu bapa serta penaja yang tidak jemu memberi sokongan dan selama ini.

“Sehubungan itu, kami berharap kementerian Belia dan Sukan (KBS), agensi kerajaan dan sekolah dapat melaksanakan serta mengatur program sukan berteraskan semangat perpaduan di kalangan pelajar dan masyarakat,”katanya.

Sementara itu salah seorang pelajar, Kanageswaran Kanadurai, 12, dari Sekolah Kebangsaan Tamil Ladang Midland ketika ditemui berkata, beliau berasa begitu teruja menyertai pertandingan ini di samping berkenalan dengan rakan-rakan baru.

“Saya berasa sangat seronok, ini merupakan pengalaman berharga  kerana pertama kali menyertai pertandingan ini ,”katanya.

Manakala Mohd Rizdwan Husin, 16, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Jawa memberitahu Komunitikini beliau memperolehi ramai kenalan melalui pertandingan kavadi.

Ditanya sama ada pernah menyertai pertandingan ini, katanya, beliau pernah menyertai pertandingan kavadi dianjurkan di Shah Alam awal tahun ini.

“Seronok sangat bermain permainan kavadi kerana setiap pemain perlu menggunakan akal fikiran di samping mempelajari teknik untuk menewaskan pihak lawan.

See also  'Road to GM' initiative launched to cultivate Malaysia's first chess Grandmaster

Saya berharap rakan-rakan yang lain menyertai permainan ini sebab jarang saya melihat kaum lain menyertai permainan kavadi ini,”katanya.

Sementara itu, Inez Caryan Eng, 17, dari Sekolah Menengah Bandar Tun Hussien Onn 2 ketika ditemui berkata ia merupakan pengalaman berharga selain dapat bertukar-tukar pandangan daripada pelajar sekolah lain.

Menurutnya, beliau mendapat tahu daripada guru sekolah dan kawan-kawan yang pernah menyertai pertandingan sebelum ini.

” Dengan adanya pertandingan ini sedikit sebanyak dapat memupuk sahsiah diri pelajar untuk  terus bergiat aktif dalam sukan  di samping beriadah bersama rakan-rakan,” katanya.

Fakta mengenai Kelab Sukan SportsUnite

Bertemakan `Satu Pasukan Satu Impian` ia  sekaligus mencerminkan nilai  murni bagi mewujudkan suasana keharmonian dan persahabatan menerusi sukan.

*Menggunakan sukan sebagai platform untuk mempromosikan intergrasi nasional.

*Menanam budaya sukan di kalangan pelajar.

*Mengajar nilai-nilai murni berkaitan dengan sukan.

*Meningkatkan proses daya fikir pelajar.

*Membangunkan kemahiran sosial dan cara hidup untuk generasi akan datang.

*Melahirkan masyarakat yang cerdas, sihat dan cergas.