Program PTRS bantu pelajar tingkat pencapaian akademik

Program PTRS bantu pelajar tingkat pencapaian akademik

Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) bertujuan membantu rakyat terutamanya pelajar dari keluarga yang berpendapatan rendah dalam usaha mempertingkatkan pencapaian akademik mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Haniza Mohd Talha berkata, program itu juga adalah salah satu bentuk perkhidmatan penjanaan modal insan dalam bentuk sumbangan pendidikan dan kemasyarakatan bertujuan membela nasib pelajar yang kurang berkemampuan di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan.

Menurutnya, program yang sudah masuk tahun ke kedua itu merupakan salah satu usaha merealisasikan dasar Kerajaan Negeri Selangor.

“Ia bagi memenuhi agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) di mana DUN Taman Medan mengadakan PTRS bagi anak tempatan yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pada tahun ini,”katanya.

See also  Goodday KidSTART 2.0 returns to nurture young entrepreneurs

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis anugerah pelajar SPM dan STPM 2009 di salah sebuah hotel terkemuka di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian.

Dalam perkembangan lain, Haniza yang juga Timbalan Speaker DUN menasihatkan ibu bapa supaya peka dan prihatin terhadap pergaulan anak masing-masing.

Jelasnya, jika tersilap memilih kawan, mereka boleh terpengaruh dengan pelbagai aktiviti tidak sihat.

“Jangan ambil mudah perkara ini. Kita kena tahu dan selidik dengan siapa anak kita berkawan. Pastikan mereka bergaul dengan orang yang betul dan nasihatkan mereka supaya memilih rakan yang cemerlang dalam pelajaran,” ujarnya.

See also  Safeguarding children's privacy on social media

Sementara itu, salah seorang pelajar cemerlang, Mohammad Shukry Mohamad, 18, ketika ditemui selepas majlis berkata, program PTRS yang dilaksanakan cukup berkesan bagi membantu mempersiapkan diri pelajar sebelum menduduki peperiksaan sebenar.

“Walaupun tempat yang diperuntukkan terhad, ia bukanlah alasan kepada pelajar tidak memperolehi keputusan cemerlang dalam SPM berbanding pelajar lain yang mengikuti tuisyen diluar sana,”katanya.

Ketika ditanya mengenai cita-cita untuk melanjutkan pelajaran masa hadapan,katanya ,beliau lebih berminat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan.

“Sekiranya tiada aral melintang, Saya akan melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan,” katanya yang memperolehi keputusan 6A, 3B dan 2C dalam peperiksaan SPM pada Mac lalu.