BERSIH: Keputusan Mahkamah Tinggi pada 24 April ini


Keputusan permohonan Gabungan Pilihanraya Adil dan Bersih (BERSIH) untuk membuat semakan kehakiman akan diputuskan pada 24 April ini oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) selepas mendengar hujah daripada barisan peguam.

Peguam yang bakal berhujah adalah Ambiga Sreenevasan, Pengerusi BERSIH 2.0 dan ahli jawatankuasa pemandu BERSIH yang lain serta Peguam Kanan Persekutuan, Azizan Md Arshad yang mewakili Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara.

Menurut wakil peguambela BERSIH, K. Shanmuga, dalam permohonan itu, BERSIH memohon Ketua Polis Negara, Ismail Omar supaya mengemukakan 1700 laporan polis yang dibuat tetapi setakat ini hanya 110 telah dikemukakan dan terdapat hanya sebilangan kecil laporan polis tersebut dibuat sekitar Kuala Lumpur selebihnya kebanyakan adalah daripada luar Kuala Lumpur seperti Arau, Labuan dan Machang.

Hampir kesemua laporan polis yang dibuat itu adalah berkenaan dengan perhimpunan BERSIH 2.0 dan bukan terhadap pertubuhan BERSIH,” tambah beliau.
Ada satu laporan polis yang dibuat di Sungai Petani oleh seorang pegawai polis keatas Dr. Jayakumar semasa beliau berucap dalam satu ceramah menggalakkan orang ramai untuk menghadiri perhimpunan BERSIH 2.0 akan tetapi pada kenyataan akhir laporan polis itu, pegawai polis berkenaan telah mengatakan tiada peristiwa peristiwa yang tidak diingini berlaku dalam ceramah berkenaan.”

Barisan peguambela BERSIH juga memohon untuk menyoal balas Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara dalam permohonan semakan kehakiman tersebut.
Permohonan itu dibuat berhubung pengharaman keatas pertubuhan gabungan beberapa NGO itu oleh Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussien yang ketika mengharamkan pertubuhan gabungan beberapa NGO itu, menteri berkenaan telah mendakwa ia sebagai satu ancaman kepada keselamatan negara.

 

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE