Kembalikan hak dan maruah Sabah

Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) mengajak seluruh rakyat Sabah agar menggunakan kuasa yang ada bagi menggembalikan maruah dan martabat negeri Sabah.

Ketua Pemuda PAS, Lahirul Latigu berkata kemerdekaan negeri Sabah sejak 48 tahun lalu sudah tidak mempunyai pengertian ekoran penjajahan bentuk baru yang dikuasai Umno dan Barisan Nasional.

“Setelah 48 tahun penduduk Sabah telah jauh ke belakang dihambat kemiskinan walaupun Sabah kaya dengan khazanah alam yang melimpah ruah di laut dan daratan,” kata beliau dalam ucapan dasarnya semasa Muktamar DPPNS kali ke-25 di sini, kelmarin.

Menurutnya, rakyat Sabah perlu sedar mengenai kuasa dan hak dalam penentuan “survival” politik negeri.

“Rakyat Sabah mesti sedar akan bargaining power” yang sekarang terletak di tangan rakyat dan  perlu mengambil kesempatan ini untuk menuntut segala hak yang telah dinafikan sekian lama oleh Umno dan BN.

Tangkis tohmahan jahat Umno dan BN

Beliau menambah, PAS perlu meletakkan kembali asas dan kedudukan sebenar serta menangkis tohmahan jahat yang dimainkan Umno dan BN terutama di negeri ini dalam memburuk-burukkan PAS di mata rakyat.

“Persepsi rakyat terhadap PAS sama sekali tidak benar.  Ia adalah gambaran hodoh yang sengaja dilukis oleh Umno dan BN bagi mengelirukan rakyat.

“PAS bukanlah parti semenanjung semata malah PAS ialah parti nasional yang mendukung sepenuhnya aspirasi lokal Sabah. PAS adalah parti untuk semua rakyat rakyat di negeri ini dari yang beragama Islam hingga bukan beragama Islam. Malah, PAS sudah berada di Sabah lebih lama berbanding Umno dan parti-parti tempatan lain di Sabah ini,” jelasnya.

Lahirul berkata, imej yang dibawa PAS adalah imej sebenar kesederhanaan yang menepati konteks Islam.

“Imej sederhana yang di tampilkan PAS itu tidak bertaut pada imej mana mana individu atau kumpulan tetapi ianya sederhana yang menepati setepat-tepatnya konteks tafsiran Islam itu sendiri.

“Dengan ALIF, kita membawa kesinambungan perjuangan asal, mengembalikan maruah dan martabat negeri Sabah,” jelas beliau mengakhiri ucapan dasarnya.

 

 

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE