Membantah penyambungan kontrak Presiden KTMB

Membantah penyambungan kontrak Presiden KTMB

Lebih dari 300 pekerja-pekerja kesatuan Keretapi Tanah Melayu Berhad(RUM) terpaksa mengadakan piket secara aman hari ini pada pukul 6.00petang di perkarangan Ibu pejabat KTMB Jalan Hishamuddin Kuala Lumpur bagi melahirkan ‘Bantahan Sekeras-kerasnya bagi penyambungan kontrak Presiden KTMB’.

Kesatuan Pekerja-Pekerja KTMB melahirkan rasa kekecewaan dengan penyambungan kontrak Dr. Aminuddin Bin Adnan sebagai Presiden KTMB selama dua tahun bermula 1hb Ogos 2011 sehingga 31hb Julai 2013. Penyambungan kontrak ini menimbulkan rasa kurang senang kesatuan berikutan perhubungan diantara kesatuan dengan Presiden KTMB telah punah berikutan Presiden KTMB tidak mengganggap Kesatuan sebagai rakan kongsi sebaliknya beranggapan kesatuan adalah ‘musuh”.

Mengikut Presiden RUM, Abdul Razak Md Hassan, penilaian kesatuan mendapati bahawa Dr.Aminuddin tidak menjalankan tugas dengan cemerlang dalam menjana pendapatan yang baik malah telah menyebabkan KTMB mengalami kerugian. Perancangan yang lemah dalam urusan membangunkan KTMB menjadikan semua “Strategy Bussiness Unit” (SBU) jatuh kerugian, ini terbukti melalui pencapaian KPI beliau dalam melaksanakan tugas sebagai Presiden KTMB. Ini sudah tentunya menimbulkan kesangsian kepada kesatuan apabila kontrak beliau disambungkan walaupun beliau menunjukkan prestasi yang buruk sehingga kegagalan menerajui KTMB yang menyebabkan semua pendapatan SBU telah jatuh berbanding pendapatan tahun-tahun sebelumnya.

Di samping itu perlantikan satu lagi CEO oleh Lembaga Pengarah untuk mengendalikan kargo, Multimodal dan KTM Distributors juga membuktikan bahawa beliau tidak layak untuk menerajui kepimpinan KTMB. Ini juga telah menimbulkan kesangsian kepada kesatuan bagaimana beliau telah direkemenkan oleh Lembaga Pengarah untuk disambung kontrak dan diluluskan oleh Kementerian kewangan sebagai Presiden KTMB.

Pihak kesatuan memohon kepada pihak yang bertanggungjawab dalam perlantikan Dr. Aminuddin bin Adnan “MEMBATALKAN ATAU MENAMATKAN KONTRAK PRESIDEN KTMB SERTA MERTA” seterusnya memberi peluang kepada mereka yang lebih layak untuk menerajui KTMB. Kesatuan juga meminta YAB Dato’ Seri Mohd Najib supaya campurtangan dalam hal ini bagi kesejahteraan semua pekerja keretapi Tanah Melayu.

Piket ini telah dihadiri oleh Sdra Khalid Atan, Presiden MTUC, mantan MTUC Sdra Zainal Rampak, Sdra Syed Shahir, Sdra Shafie Mammal, pemimpin-pemimpin MTUC dan pemimpin-pemimpin kesatuan gabungan. Piket yang berlangsung lebih dari satu setengah jam telah berlangsung secara aman dan kehadiran pihak polis juga tidak dapat dinafikan, lebih dari 50 polis telah berada di kawasan piket bagi mengawal sebarang kemuskilan atau keadaan yang tidak diingini.

Dilaporkan oleh Wartawan Masyarakat
K.S Tan dan R.Rajeswari

Rajeswari