Menjelang pilihanraya PKR Johor ambil iktibar dari masalah lalu

SEGAMAT – Parti Keadilan Rakyat akan mengambil ikhtibar dari peristiwa lepas di mana ramai wakil rakyat keluar parti selepas mendapat mandat.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengambil ikhtibar dari peristiwa lepas di mana ramai wakil rakyat keluar parti selepas mendapat mandat dari rakyat dalam pilihanraya 2008.

“Ini yang paling kita perhatikan, kalau kita mengesyaki seseorang (calon), mungkin dia boleh goyang, mungkin dia boleh lompat, kita tidak akan rekomen (cadang) dia sebagai calon,” kata Pengerusi PKR Johor, Chua Jui Meng dalam satu temubual selepas ceramah anjuran PKR di Tahang Rimau, Segamat semalam.

Program yang diadakan di halaman rumah Ketua Wanita PKR Johor iaitu Natrah Haji Ismail itu turut menampilkan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim memberikan ceramah dihadapan kira-kira 600 orang.

“Dari segi kelayakan juga kita akan pilih yang ada kelayakan yang baik dari segi akademik kerana generasi sekarang mahu calon-calon yang berkaliber dan mempunyai latarbelakang pendidikan yang baik,” tambah Pengerusi PKR Johor itu.

“Tetapi sekiranya ada seseorang yang komited tetapi mempunyai latarbelakang akademik yang tidak tinggi kita akan pertimbangkan,”

Apabila ditanya mengenai sambutan rakyat Johor terhadap Pakatan Rakyat khususnya PKR sendiri mantan Menteri Kesihatan itu sambil berseloroh menjawab, “Kalau sambutan tidak baik, mereka (pihak lawan) tidak akan keluar kenyataan di media arus perdana dengan mengatakan dia tidak takut dengan Chua Jui Meng.”

“Tumpuan kita sekarang ialah kawasan luar bandar khususnya kampung-kampung yang majoritinya orang Melayu di mana pendedahan serta kefahaman tentang agenda dan dasar kita masih kurang kerana sumber maklumat mereka hanya bergantung kepada media arus perdana tidak seperti di kawasan bandar.”

Ditanya tentang rundingan kerusi antara parti dalam Pakatan Rakyat di Johor, Chua Jui Meng menjawab ianya telah selesai di peringkat negeri seperti yang pernah beliau nyatakan lapan bulan lalu dan ianya sedang dibincangkan di peringkat pusat oleh ahli jawatankuasa yang dilantik oleh parti masing-masing.

Sebagai tuan rumah bagi program ceramah yang diadakan, Natrah agak kesal dengan tindakan Majlis Daerah Segamat yang mengutip bayaran sebanyak RM15.00 dari peniaga-peniaga kecil yang berniaga di sekitar tapak ceramah ketika di temui selepas tamat program.

“Bayaran RM15 itu agak tinggi sedangkan bayaran kepada peniaga di Bazar Karat di Dataran Segamat cuma RM10 kerana mereka berniaga dipinggir jalan tetapi diluar kawasan seliaan Majlis Daerah dan ianya dihadapan kawasan rumah saya malah saya sendiri boleh membersihkan tapak mereka berniaga seperti yang lepas,” kata bekas guru itu sambil menunjukkan resit bayaran yang diserahkan oleh peniaga.

Beliau agak optimis dengan sokongan di kalangan pendidik dan kaum Cina terhadap PKR dan Pakatan Rakyat apabila ditanya tentang sambutan masyarakat Segamat terhadap Pakatan Rakyat.

“Saya amat bersetuju dengan apa yang dinyatakan oleh Anwar Ibrahim tadi tentang kualiti pendidikan kerana sepanjang pengalaman saya dalam Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), saya pernah dihantar ke beberapa negara seperti Sweden, Norway, Filipina, Indonesia dan sebagainya untuk melihat sistem pendidikan di sana dan apa yang ditekankan adalah kualiti pendidikan yang mana Malaysia ini agak tertinggal berbanding mereka,” ulas beliau tentang sistem pendidikan di Malaysia.

Amirull Salihing