Insiden Highland Tower berulang kembali?

Kotor..jijik..busuk dan membahayakan…itulah keadaan Rumah Pangsa Kos Rendah di Taman Jaya, Skudai, Johor Bahru.

Kami terpaksa meredah hujan lebat semalam untuk sampai ke tempat itu dan tinjauan kami mendapati hanya 3 buah keluarga sahaja yang mendiami Blok 4 Rumah Pangsa Taman Jaya. Selebihnya, 61 buah keluarga telah mengosongkan rumah mereka kerana bimbang akan keselamatan mereka. Lebih memeranjatkan kami, terdapat individu-individu  yang tidak diketahui kewarganegaraan mereka mengambil kesempatan menggunakan rumah-rumah yang tidak didiami itu untuk menternak ayam dan memanggang daging babi.

Apabila ditanya mengenai keadaan rumah pangsa itu, ahli jawatankuasa penghuni rumah pangsa tersebut, En Rozy Ahmad, 53, memberitahu bahawa hanya mereka yang tidak mampu menyewa rumah di kawasan itu masih tinggal di rumah pangsa tersebut memandangkan sewa rumah di kawasan itu adalah dalam sekitar RM600 sebulan.

Seorang lagi penghuni rumah pangsa itu, Pn Tabiah Ahmad Jalil, 51, seorang ibu tunggal yang tinggal bersama 4 orang anaknya yang masih bersekolah, meluahkan keperitan yang dialaminya disebabkan oleh masalah pembentungan air najis yang tidak betul dan keselamatan anak-anaknya.

Salah seorang seorang pemilik rumah pangsa, En Baskhara Rao Ramasamy menjelaskan bahawa masalah keretakan yang serius mula dialami sejak tahun 2005. Menyedari keadaan ini, penghuni-penghuni mula berusaha untuk mendapatkan penjelasan daripada pemaju perumahan dan kerajaan negeri. Tetapi segala usaha mereka sia-sia kerana keretakan dialami menjadi amat serius sehinggakan struktur tetulang sementara perlu didirikan di salah sebuah rumah bertujuan untuk mengelakkan rumah pangsa itu runtuh dan ranap. Justeru itu, kebanyakkan penghuni mengosongkan rumah pangsa mereka dan terpaksa menyewa rumah di sekitar kawasan itu.

Rata-rata, kesemua penghuni dan pemilik rumah pangsa Taman Jaya, Skudai inginkan kerajaan negeri memberikan kata putus secepat mungkin untuk menyelesaikan masalah mereka. Selagi itu, masyarakat di sini akan terus hidup dalam keadaan kotor, jijik, busuk dan membahayakan. Sekiranya masalah ini tidak diberi perhatian segera, kita mungkin akan menyaksikan satu lagi insiden “Highland Tower” berulang di negara ini.

Video dan laporan : Saminathan Munisamy Citizen Journalist Malaysia  

 

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE