JMM: Kami akan dedah agenda LGBT

Sekumpulan 30 NGO di bawah gabungan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mengumumkan untuk berhimpun pada 21 April untuk menentang “agenda lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) serta seks bebas”.

Akhbar Mingguan Malaysia melaporkan pengerusi JMM Azwanddin Hamzah sebagai berkata, perhimpunan itu akan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Azwanddin juga menyatakan bahawa JMM akan mendedahkan nama NGO yang mendapat dana daripada kumpulan LGBT antarabangsa — Lesbian, Gay, Biseksual, Trans dan Interseks Antarabangsa (Ilga).

Laporan itu menyebut, dana berkenaan adalah untuk mempromosi gaya hidup LGBT, seks bebas dan perkahwinan sejenis di Malaysia.

Perhimpunan tersebut diadakan selang seminggu selepas tarikh perhimpunan pelajar untuk membantah hutang PTPTN dan juga seminggu sebelum perhimpunan BERSIH 3.0, juga di lokasi sama.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dalam laporannya pada 2011 menggesa kerajaan untuk menggubal undang-undang bagi melindungi hak golongan minoriti seks.