Hujan tidak halang himpunan sokong Bersih 3.0

SEGAMAT – Menurut jurucakap penganjur kempen, Wong Kim Ka, perhimpunan pada petang ini adalah bertujuan untuk mengumpul 1000 tandatangan sebagai sokongan terhadap Himpunan Bersih 3.0 dan Himpunan Hijau yang dirancang diadakan di Dataran Merdeka 28 April ini.

Peserta Himpunan Bersih 3.0 dan Himpunan Hijau di padang Kampung Abdullah

Hujan lebat yang turun di Segamat tidak membantutkan semangat lebih 500 orang untuk hadir menyertai kempen tandatangan menyokong himpunan Bersih 3.0 dan Himpunan Hijau pada 28 April ini.

Orang ramai mula memenuhi astaka padang Kampung Abdullah dan melaungkan slogan “Bersih” dan “Stop Lynas” sebaik hujan mulai reda kira-kira jam 5 petang.

Turut kelihatan dalam perhimpunan pada petang ini, ahli jawatankuasa DAP Johor, Tan Meng Ann, Yang dipertua PAS Segamat, Firdaus Masod dan Ketua Wanita PKR Johor, Hajjah Natrah Ismail.

Peserta mula berkumpul di astaka padang Kampung Abdullah

Menurut jurucakap penganjur kempen, Wong Kim Ka, perhimpunan pada petang ini adalah bertujuan untuk mengumpul 1000 tandatangan sebagai sokongan terhadap Himpunan Bersih 3.0 dan Himpunan Hijau yang dirancang diadakan di Dataran Merdeka 28 April ini.

“Kita menyeru agar pihak berkuasa menarik balik lesen yang diberikan kepada kilang Lynas dan kita juga menyeru agar pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) agar membersihkan sistem pilihanraya dinegara ini.”

“Kita berhimpun pada petang ini juga sebagai tanda sokongan masyarakat Segamat terhadap penduduk Kuantan yang terlibat dengan projek kilang memproses nadir bumi iaitu Lynas kerana kesan toksid yang bakal dihasilkan oleh kilang tersebut tidak mengira bangsa, agama, umur malah fahaman politik ,” tambah beliau.

Peserta hadir menandatangani sokongan Himpunan Bersih 3.0 dan Himpunan Hijau

Bagi seorang peguam, W.K Lim, terdapat tiga persoalan yang masih tidak terjawab membuatkan beliau menyokong Himpunan Hijau nanti.

“Sebelum lesen dikeluarkan kepada Lynas, apakah pihak berkuasa tidak mengambil tahu tentang bahan yang bakal diproses?”

“Persoalan kedua, siapa yang meluluskan lesen tersebut dan seterusnya mengapa Lynas mahu beroperasi di Malaysia sedangkan mukabumi Australia lebih luas dari Malaysia?,” tambah beliau yang pada mulanya menyangka sumber nadir bumi juga terdapat di Malaysia.

Anak muda turut bersama memberi sokongan

CJMY juga diberitahu oleh seorang ahli jawatankuasa penganjur kempen, Yoong Thau, sebanyak 1780 tandatangan telah berjaya dikumpul dan ia melebihi sasaran 1000 tandatangan.

“Sebanyak RM2160 juga telah dikumpulkan hasil derma orang ramai yang hadir dan wang ini akan diserahkan kepada ahli jawatankuasa Anti-Lynas.”

“Kami juga ada menyediakan dua buah bas untuk perhimpunan di Dataran Merdeka nanti ,” tambah beliau.

Amirull Salihing