Rumah pangsa Mount Austin diisytihar terbengkalai

 

Seramai 700 pembeli rumah pangsapuri kos rendah Mount Austin, Johor Bahru telah berkumpul di tapak perumahan mereka dengan harapan projek berusia 8 tahun ini dapat disiapkan.

Kali ini mereka dikunjungi oleh wakil daripada kementerian perumahan dan kerajaan tempatan, pihak unit perancangan negeri Johor (UPEN) dan wakil ahli dewan undangan negeri Puteri Wangsa, Abdul Halim Suleiman untuk memberi penerangan mengenai tindakan selanjutnya untuk memulihkan projek ini.

 

Menurut penolong pengarah bahagian perumahan terbengkalai Junaid Izzudin bin Abd Aziz, projek ini telah diisytiharkan sebagai projek terbengkalai dan pihak jabatan perumahan dan UPEN Johor kini boleh campur tangan untuk menyiapkan projek ini.

Menurut Junaidi lagi, kementerian dan pihak UPEN telah berbincang dengan pemaju, Kong Sun Enterprise Sdn Bhd untuk menyiapkan blok 10 pangsapuri tersebut dalam masa sebulan dan seterusnya menyiapkan sembilan blok yang lain.

 

“Daripada 177 buah projek terbengkalai di seluruh Malaysia, 100 buah projek telah dipulihkan dan 51 satu lagi dalam proses pemulihan,” ujar Junid.

Di Johor, antara yang telah dipulihkan ialah projek JB Perdana dan Kota Cahaya Putri.

“Kami komited dan akan terus membantu pembeli rumah yang menghadapi masalah,” kata Junid.

 

Projek pangsapuri yang telah dimulakan pada tahun 2004 ini sepatutnya disiapkan pada 2007, tetapi pemaju gagal menyiapkan projek ini menyebabkan lebih tujuh ratus pembeli yang rata-ratanya golongan berpendapatan rendah terpaksa menanggung pelbagai kos tambahan seperti menyewa rumah disamping membayar pinjaman bank bagi rumah pangsa ini.