Mogok lapar untuk 3 ekar tanah SJK (T) Effingham

SELANGOR – Return Effigham Land Action Team (Reflax) akan mengadakan protes mogok lapar di Brickfields pada Mei 26, 2012.

Kemelut isu tanah tiga ekar di antara pihak sekolah SJK (T) Effingham dan MIC bakal melangkah ke satu lagi episod baru di mana Return Effigham Land Action Team (Reflax) telah memutuskan untuk mengadakan mogok lapar sebagai protes untuk menuntut 3 ekar tanah milik sekolah tersebut.

Setelah protes nyalaan lilin selama 14 minggu berturut-turut oleh Reflax, satu protes mogok lapar akan diadakan di Brickfields pada Mei 26, 2012 bermula pada pukul 8.00 pagi .

Permohonan permit Reflax untuk mengadakan mogok lapar telah ditolak oleh DBKL pada Mei 21 2012 oleh DBKL.

Menurut Pengerusi Reflax, Manivanan Gowin, mereka telah berjumpa dengan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk. M.Saravanan untuk mendapatkan sokongan beliau terhadap permohonan permit.

“Ianya menyedihkan kami apabila Pengarah Perancangan Korporat, Ismain Stapa memberitahu kami secara lisan bahawa permohonan kami tidak diluluskan dan sehingga kini kami masih belum menerimasuratjawapan rasmi dari pihak berkuasa,” ujar Gowin dalam kenyataan media.

Walaubagaimanapun Reflax telah membuat keputusan sebulat suara untuk meneruskan mogok lapar tanpa permit oleh DBKL, kerana menurut beliau protes sebegini telah diterima di seluruh dunia sebagai cara protes yang paling aman di dunia.

Pihak penganjur protes juga telah meminta kerjasama daripada pihak polis di Balai Polis Travers untuk menjamin keselamatan peserta mogok lapar dan orang awam yang akan turut hadir untuk memberi sokongan.

Reflax juga menjemput orang awam untuk mengambil bahagian dalam mogok lapar dengan syarat, peserta harus menandatangani borang yang disediakan oleh pihak penganjur yang mengesahkan bahawa peserta tersebut mengambil bahagian atas kemahuan dan kerelaan mereka sendiri tanpa sebarang paksaan dari mana-mana pihak.

Menurut Gowin, setakat ini seramai 10 peserta telah bersetuju untuk menandatangani borang rasmi mogok lapar Reflax.

Ahli politik juga telah hadir untuk memberi sokongan kepada pihak penganjur mogok lapar Presiden PKR Wan Azizah, Ahli Parlimen Subang Sivarasa, Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh dan Senator Ramakrishnan.

 

 

Sathis Kumar