Satu kematian akibat denggi dicatat minggu pertama tahun ini

Satu kematian akibat denggi dicatat minggu pertama tahun ini

Sebanyak 440 kes demam denggi dengan satu kematian dilaporkan pada minggu pertama tahun ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Hasan Abdul Rahman hari ini.

Sebanyak 440 kes demam denggi dengan satu kematian dilaporkan pada minggu pertama tahun ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Hasan Abdul Rahman hari ini.

Katanya statistik itu menunjukkan peningkatan 26 peratus atau 90 kes berbanding minggu sebelumnya yang tidak mencatatkan kematian.

“Pada minggu lepas, kematian demam denggi dilaporkan di Selangor melibatkan seorang wanita berusia 35 tahun yang bertugas sebagai penjawat awam di Putrajaya,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Dr Hasan berkata secara keseluruhan, sembilan negeri mencatatkan peningkatan kes demam denggi bagi tempoh 1 hingga 7 Jan tersebut, iaitu Selangor, Johor, Perak, Melaka, Kedah, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Peningkatan kes denggi pada awal tahun ini perlu dipandang serius oleh semua pihak terutama masyarakat di negeri-negeri yang pernah terlibat dengan banjir,” katanya.

Beliau juga berkata terdapat tiga lokaliti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor yang berpotensi menjadi lokaliti ‘hot spots’ jika tiada langkah penghapusan nyamuk Aedes diambil oleh pihak berkenaan.

Katanya hasil pemeriksaan ke atas 57,439 premis di seluruh negara pada minggu lepas juga mendapati 833 mempunyai tempat pembiakan nyamuk Aedes.

– Bernama