Arkib Negara laksana proses pendigitalan bahan

Arkib Negara laksana proses pendigitalan bahan

Arkib Negara Malaysia sedang dalam proses mendigitalkan semua rekod dan bahan sejarah yang ada dalam usaha memudahkan orang ramai memperolehi maklumat.

Oleh Salawaty Supardi

Arkib Negara Malaysia sedang dalam proses mendigitalkan semua rekod dan bahan sejarah yang ada dalam usaha memudahkan orang ramai memperolehi maklumat.

Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikkan dan Pengembangan) ANM, Daresah Ismail berkata proses pendigitalan yang dilaksanakan di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) itu juga bertujuan mendekatkan masyarakat dengan institusi yang
bertanggungjawab menjaga sejarah negara itu.

“Apabila siap kelak orang akan lebih nampak tentang peranan dan fungsi Arkib Negara sebab mereka mudah cari bahan iaitu secara online, tidak perlu lagi datang ke arkib,” katanya kepada Bernama.

Katanya proses pendigitalan itu juga selaras dengan perubahan semasa serta kemajuan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi yang membolehkan orang ramai memperolehi atau mengakses maklumat dengan mudah dan di mana sahaja.

See also  From caves to cities: Our built environment tells our story

Menurut Daresah proses pendigitalan itu telah dimulakan sejak tahun lepas dan dijangka siap pada 2013.

Di tanya sama ada proses pendigitalan itu akan menjejaskan kedatangan pengunjung ke arkib, Daresah berkata perkara itu memang tidak dapat dinafikan namun ia perlu dilaksanakan untuk mengelakkan Arkib Negara daripada ketinggalan.

“Kita mesti buat pendigitalan ini kerana trend orang sekarang semuanya secara online, malah ada penyelidik yang buat kerja dari rumah, mereka e-mel soalan dan kita akan jawab,” katanya.

Daresah bagaimanapun berkata terdapat beberapa bahan yang tidak akan didigitalkan dan orang ramai perlu datang sendiri ke arkib untuk melihatnya.

Beliau berkata langkah itu antara lain bertujuan memastikan orang ramai terus mengunjungi Arkib Negara sekaligus sasaran 1 juta pengunjung setiap tahun tercapai.

See also  A solemn memorial stone for the gruelling Siam-Burma Railway legacy

Tahun lalu 954,326 orang mengunjungi Arkib Negara dan beberapa Arkib Negarawan lain seperti Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, Memorial Tun Abdul Razak dan Galeria Seri Perdana.

– Bernama