Pantai Teluk Lipat, Dungun dilanda hakisan teruk

Pantai Teluk Lipat, Dungun dilanda hakisan teruk

Kejadian air pasang dan ombak besar yang melanda sebahagian pantai di negeri ini dilaporkan antara yang terburuk pernah berlaku sejak 50 tahun lalu.

Kejadian air pasang dan ombak besar yang melanda sebahagian pantai di negeri ini dilaporkan antara yang terburuk pernah berlaku sejak 50 tahun lalu.

Antara daerah yang teruk dilanda fenomena itu yang dijangka berlarutan sehingga awal Januari depan ialah Dungun dengan hampir sebahagian persisir Pantai Peranginan Teluk Lipat dihakis ombak besar.

Tinjauan Bernama mendapati bukan sahaja berpuluh-puluh batang pokok Rhu tumbang malah sebahagian jalan utama yang menghubungkan pengguna jalan raya ke sebuah institusi pendidikan dekat sini turut rosak dipukul ombak.

Ombak kuat setinggi lima meter yang memukul persisir pantai sepanjang tiga kilometer itu meruntuhkan jalan raya berkenaan sehingga memaksa ia ditutup kepada semua kenderaan untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Seorang pengusaha kedai makan, Ahmad Fauzi Ismail, 50, berkata keadaan jalan raya runtuh sikit demi sedikit akibat hakisan itu yang dikesan berlaku sejak empat hari lalu.

See also  Langkawi International Airport receives prestigious ACI Award

Katanya, sejak 26 tahun mengusahakan kedai makan di situ, ini adalah kejadian ombak besar yang paling teruk pernah berlaku sehingga mengundang rasa bimbang penduduk sekitar kawasan itu.

“Memang kawasan ini sering dilanda ombak besar setiap tahun namun tidaklah sampai meranapkan jalan raya dan menumbangkan puluhan pokok.

“Apa yang membimbangkan, fenomena ini dijangka berterusan beberapa hari dan ini sangat membimbangkan kerana air ombak sudah mula naik sehingga mencecah ke jalan raya yang hanya beberapa meter dari kedai di sini,” katanya ketika ditemui semalam.

Dalam pada itu seorang peniaga, Rosdi Busu, 42, memberitahu beliau berharap pihak berkaitan dapat menyelesaikan masalah itu dengan segera kerana keadaan tersebut amat berbahaya kepada pengguna terutamanya pada waktu malam.

See also  Malaysia-Cambodia direct flight signals strong bilateral ties

Katanya, biarpun tanda amaran telah diletakkan di bebarapa bahagian jalan itu namun kerja-kerja penambakkan perlu dilaksanakan dengan lebih cepat ekoran air pasang yang dijangka lebih besar bermula malam ini.

“Kita bimbang sekiranya ombak ini menghakis pasir di bawah struktur jalan tar ini ia sukar dilihat dan boleh menyebabkan risiko tanah runtuh,” katanya.

Dalam pada itu, kawasan di sepanjang pantai sejak beberapa hari lepas dibanjiri orang ramai yang teruja melihat fenomena ombak besar yang telah memusnahkan sebahagian persisir pantai yang terkenal dengan industri bijih timah pada suatu ketika dulu.

– Bernama