Pegawai Kastam Melaka cedera ditembak

Seorang pegawai bahagian penguat kuasa Kastam Diraja (KDRM) Melaka cedera ditembak empat lelaki di hadapan rumahnya di Taman Tanjung Minyak, Sungai Air Hitam di sini hari ini.

Pegawai Kastam Tinggi, Rosli Aziz cedera pada bahu dan tapak tangan kiri dalam kejadian kira-kira jam 7.20 pagi itu.

Beliau dilaporkan terkena dua daripada lima tembakan yang dilepaskan kumpulan tersebut.

Ketua Polis Melaka, SAC Datuk Chuah Ghee Lye berkata para suspek dikatakan menunggu mangsa di luar pagar rumahnya sebelum menembak mangsa dan melarikan diri selepas mangsa cuba membalas tembakan tersebut.

Para penjenayah melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta.

Rosli dengan bantuan isterinya dan jiran mereka dihantar ke Hospital Melaka dan keadaanya dilaporkan stabil.

Chuah berkata polis tidak menolak kemungkinan jenayah tersebut dilakukan atas motif dendam kerana tugas mangsa yang telah mematahkan aktiviti penyeludupan.

“Kita percaya mungkin ada yang tidak berpuas hati dengannya dan cuba bertindak membunuhnya selepas rumahnya pernah dibaling dengan molotov cocktail  sebelum ini,” katanya.

Pengarah KDRM Melaka, Datuk Mohd Nasir Said yang melawat Rosli percaya serangan tersebut dibuat sebagai uhutan dari penyeludup atau kumpulan sindiket yang marah dengan tindakan kastam menangkap anggota kumpulan mereka.

– Bernama

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE