Umat Islam dipelawa sertai kelas Tahsin Al-Quran di Besut

Umat Islam di negeri ini dipelawa menyertai Kelas Tahsin Al-Quran Bersama Keluarga atau berkumpulan anjuran Pusat Minda Besut yang akan diadakan esok bermula jam 7.30 pagi di Pusat Kecemerlangan Imtiaz Kampung Raja.

Pengerusi Pusat Minda Besut Toh Puan Che Kamariah Zakaria berkata penyertaan berkeluarga atau berkumpulan antara lima dan 12 orang amat dialu-alukan sebagai satu usaha mewujudkan keluarga dan masyarakat yang mesra al-quran.

Katanya program julung kali diadakan itu bertujuan mendedahkan keistimewaan al-Quran kepada semua peringkat generasi dalam usaha melahirkan generasi celik al-Quran.

“Setiap peserta dikenakan yuran RM25 dan mereka akan diajar oleh beberapa qari dan qariah yang terpilih mengikut kumpulan masing-masing,” katanya kepada pemberita hari ini.

Mereka yang berminat menyertainya boleh mendaftar atau menghubungi nombor 019-9367050 dan dikehendaki membawa al-Quran sendiri bersama pakaian solat untuk mengikuti program berkenaan.

– Bernama

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE