Prasarana: Warga emas dinasihati pohon kad konsesi

Prasarana: Warga emas dinasihati pohon kad konsesi

Warga emas berusia 60 tahun dan ke atas yang memiliki kad Konsesi Warga Emas RapidKL perlu segera mengemukakan permohonan untuk membolehkan mereka menikmati tambang separuh harga menggunakan LRT dan KL Monorail bermula 1 Jan tahun depan.

Warga emas berusia 60 tahun dan ke atas yang memiliki kad Konsesi Warga Emas RapidKL perlu segera mengemukakan permohonan untuk membolehkan mereka menikmati tambang separuh harga menggunakan Transit Aliran Ringan (LRT) dan KL Monorail bermula 1 Jan tahun depan.

Pengarah Kumpulan Divisyen Rel Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) Khairani Mohamed berkata pengusaha perkhidmatan LRT dan monorail Lembah Klang menerusi anak syarikat RapidKL menasihati warga emas supaya mendaftar hari ini dan segera mendapatkan kad konsesi mereka.

“Bermula hari berkenaan, warga emas akan menikmati tambang konsesi dengan diskaun 50 peratus bagi tambang tiket LRT dan KL Monorail.

“Tawaran diskaun ini sejajar dengan pengumuman Perdana Menteri pada pembentangan Belanjawan Oktober lepas bahawa warga emas diberi diskaun 50 peratus bagi tambang LRT dan KL Monorail,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairani berkata tambang konsesi itu turut terpakai kepada Orang Kurang Upaya dan mereka hanya perlu menunjukkan kad OKU mereka yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat ketika memohon kad berkenaan.

Beliau berkata tambang konsesi telah pun dilaksanakan dalam bas RapidKL dengan penggunaan kad konsesi sejak pelaksanaan Sistem Tiket Bas yang Baru pada Februari lepas.

“Mereka yang telah pun memiliki Kad Konsesi Warga Emas, tidak perlu membuat permohonan semula dan mereka boleh terus menggunakan kad yang sama ketika menaiki perkhidmatan tren dan bas RapidKL,” katanya.

Beliau berkata permohonan bagi kad warga emas boleh dibuat di Stesen LRT Pasar Seni dan pemohon perlu membawa MyKad dan salinan kad pengenalan mereka itu ke Kaunter Pendaftaran Tiket Konsesi.

“Pemohon perlu melengkapkan borang pendaftaran yang mudah untuk memohon dan mereka perlu membayar nilai prabayar sebanyak RM5.

“Bagi tambah nilai berikutnya, penumpang boleh berbuat demikian di semua stesen LRT RapidKL dengan kadar minimum RM10 dan di mana-mana kaunter tambah nilai TnG,” katanya.

– Bernama