Jamil Khir: Penguatkuasaan enakmen cegah murtad akan dibincangkan

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan semua Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam negeri akan membincangkan pendekatan penguatkuasaan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam kepada Orang Islam berhubung isu murtad.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata perbincangan itu juga akan menumpukan kepada isu lesbian, gay, bisexual dan transgender (LGBT) di kalangan masyarakat Islam.

“Saya dah minta supaya Jakim mengaturkan pertemuan tersebut dalam masa yang terdekat supaya kita memaklumkan berkenaan kewujudan enakmen ini kepada masyarakat dan supaya ia dikuatkuasakan,” katanya pada sidang media semalam.

Beliau berkata ramai di kalangan masyarakat tidak menyedari kewujudan enakmen tersebut sejak 1980 lagi sehingga terdapat desakan supaya digubal enakmen atau akta bagi keperluan menangani isu murtad dan LGBT.

Jamil Khir berkata oleh itu perbincangan itu dirasakan perlu dan yang menjadi perkara utama ialah untuk mencapai persepakatan daripada segi pendekatan atau tindakan untuk penguatkuasaan enakmen itu.

Katanya Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam kepada Orang Islam wujud di semua negeri kecuali Perak, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

– Bernama

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE