Lebih 8,000 anggota polis bertugas dalam Ops Banjir Johor

Lebih 8,000 anggota polis bertugas dalam Ops Banjir Johor

Sejumlah 8,300 pegawai dan anggota polis negeri ini ditugaskan dalam Ops Banjir untuk menjaga keselamatan di kawasan-kawasan yang terjejas akibat banjir, menurut ketua polis Johor

Sejumlah 8,300 pegawai dan anggota polis negeri ini ditugaskan dalam Ops Banjir untuk menjaga keselamatan di kawasan-kawasan yang terjejas akibat banjir, kata Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.

Langkah itu, katanya bertujuan memastikan keselamatan rumah yang ditinggalkan mangsa banjir di daerah Batu Pahat, Segamat, Kluang, Johor Baharu Utara, Pontian, dan Kota Tinggi.

“Kita telah menempatkan sebuah helikopter di IPD Kluang bagi membuat pengawasan dari udara dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Mokhtar turut menasihati penduduk yang terjejas akibat banjir agar mengutamakan keselamatan nyawa masing-masing dan berpindah ke pusat-pusat pemindahan jika diarahkan berbuat demikian.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya yakin untuk mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) penurunan kadar jenayah indeks sebanyak lima peratus sehingga akhir tahun ini.

Katanya penurunan kadar jenayah indeks kepada 5.43 peratus sehingga bulan lalu membuktikan polis Johor bertungkus-lumus mengawal keselamatan dan ketenteraman di negeri ini.

Beliau berkata polis Johor berjaya mencapai sasaran KPI yang ditetapkan untuk menurunkan jenayah jalanan iaitu 40 peratus akhir tahun ini berbanding 54.61 peratus pada 2009.

Selain itu, katanya pasukan itu turut menumpaskan 61 kumpulan penjenayah yang terdiri daripada 34 kumpulan curi kenderaan, lapan kumpulan samun berkawan tanpa senjata api, empat kumpulan samun oleh warga asing, lima kumpulan samun kargo, dan 10 kumpulan culik.

Sebanyak 13 pucuk senjata api pelbagai jenis dan 253 butir peluru dirampas daripada penjenayah, katanya.

– Bernama