Mari teroka sejarah kezaliman manusia

Mari teroka sejarah kezaliman manusia

Pengunjung ke Muzium Negeri di sini pasti berasa gerun apabila mendapat tahu rahsia yang tersirat di sebalik sebuah keranda besi yang dikenali sebagai “The Iron Maiden of Nuremberg”.

"Knee-splitter" from http://www.tortura.com.my

oleh Rhoma Ahmad Razali

Pengunjung ke Muzium Negeri di sini pasti berasa gerun apabila mendapat tahu rahsia yang tersirat di sebalik sebuah keranda besi yang dikenali sebagai “The Iron Maiden of Nuremberg” dengan penutupnya dibuat dalam bentuk arca manusia.

Bahagian belakang penutup keranda ini dibarisi paku panjang dan tajam yang jelas menunjukkan ia digunakan untuk tujuan yang pastinya tidak disenangi.

Apabila pintu keranda ditutup paku-paku tajam ini akan mencucuk tubuh mereka yang baring di dalamnya terutama di bahagian perut, dada, pundi kencing, kemaluan dan mata.

Paku-paku ini disusun sebegitu cara supaya tidak mencucuk organ-organ penting tubuh yang boleh membunuh mangsa dengan serta merta, sebaliknya mangsa dibiarkan mengalami seksa selama beberapa hari sebelum mati.

Lagipun, peti ini yang diperbuat daripada besi, amat tebal dan kukuh apabila ditutup rapat jeritan dan tangisan kesengsaraan orang yang berada di dalamnya, langsung tidak akan kedengaran.

Keranda ini yang diperbuat di wilayah Nuremburg Jerman dan digunakan di Zaman Pertengahan Eropah merupakan antara hampir 200 alat, lukisan dan gambarajah menunjukkan penderaan yang dapat disaksikan di Pameran Tortura Muzium Negeri.

Pemeran Tortura

Barang bagi pameran unik ini yang bermula pada 18 Nov 2011 dan diteruskan hingga 17 Feb 2012 dibawa khas dari beberapa negara Eropah seperti Jerman, Itali, Perancis dan England.

Pegawai Kurator muzium Aziz Mohd Gorip berkata pameran Tortura bertujuan membawa pengunjung menyelusuri era keganasan dan kekejaman sesama manusia di Eropah di zaman pertengahan terutama antara tahun 1500 hingga 1700.

Masyarakat Eropah yang kini hidup dalam tahap ketamadunan yang tinggi, sebenarnya pernah suatu ketika dahulu hidup dalam zaman yang dianggap kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Pada zaman pertengahan itu yang dicirikan sistem pemerintahan ‘feudal’ penderaan dan penyeksaan menjadi amalan biasa terutama oleh golongan atasan dan bangsawan Eropah terhadap golongan bawahan, penjenayah dan mereka yang menentang agama.

Menurut Aziz lagi amalan penderaan yang mengakibatkan kecederaan teruk dan mendatangkan kematian kepada mangsa terjadi kerana perbezaan ideologi, sosial, keturunan, status dan agama antara masyarakat pada masa itu.

See also  APU welcomes Fulbright Scholar Dr. Kelly McKenna

“Dalam kata lain, kita ingin menunjukkan betapa beruntungnya kehidupan kita pada hari ini yang mempunyai kebebasan dalam percakapan, keagamaan, status sosial dan keturunan berbanding masyarakat Eropah pada zaman pertengahan,” katanya ketika ditemubual wartawan Bernama baru-baru ini.

Alat pameran yang menyeramkan

Berbalik kepada barangan pameran, pelbagai jenis alat penderaan yang menyeramkan dan mengerikan terdiri dari pelbagai bentuk dan cara seksaan atau bunuh dapat dilihat pada pameran itu.

Selain Wanita Besi Nuremberg, satu lagi alat yang amat menyeramkan adalah “The Guillotine” atau alat pancung yang merupakan ciptaan ahli fizik Perancis Joseph Ignace Guillotin semasa Revolusi Perancis antara 1789 dan 1793. Menurut Aziz, guillotine sebenarnya bukanlah alat penderaan tetapi alat pembunuh yang sezaman dengan alat penderaan lain yang dipamerkan.

Alat pemancung ini banyak digunakan semasa tempoh Revolusi Perancis. Ramai yang menjadi mangsa termasuk Raja Perancis Louis XVI dan permaisurinya Marie Antoinette yang dipancung pada 1793.

“Guillotine merupakan tarikan utama kita pada pameran ini. Semua alatan yang dipamerkan di sini kejam tapi bagi saya alat ini adalah yang paling kejam dan menyeramkan kerana ia memotong kepala mangsa dengan begitu pantas,” kata Aziz.

Kerusi Seksa

Selain itu turut dipamerkan adalah “The Inquisitional Chair” atau Kerusi Soal Siasat yang banyak digunakan di negara-negara Eropah seperti Jerman, Itali, Perancis, England dari sekitar 1600 hingga akhir 1800-an.

Ia digunakan bagi mendera mangsa yang disoal siasat dengan paku-paku tajam dipasang pada seluruh bahagian kerusi itu terutama di bahagian belakang, tempat letak lengan, atas tempat duduk dan tempat letak kaki.

Mangsa yang dipaksa duduk atas kerusi itu akan diikat badan, lengan dan kaki mereka dengan kunci besi supaya tidak boleh bergerak dan terus merasai kesakitan.

Paku-paku tadi juga akan menusuk daging di bahagian lengan, badan dan belakang sehingga melemahkan mangsa dan seterusnya boleh mengakibatkan kematian.

Turut menarik perhatian pameran adalah “The Knee Splitter” atau Alat Pemecah Lutut yang merupakan alat penderaan yang amat kejam dengan mangsa mengalami kecederaan lutut yang teruk sehingga hilang fungsinya.

See also  Safeguarding children's privacy on social media

Alat yang sama juga diguna untuk mencederakan bahagian lain tubuh seperti siku, tangan dan buku lali.

Apabila pendera memutarkan pemegang alat itu, jeriji tajam yang ada padanya akan bertaut antara satu sama lain yang mengakibatkan kesan koyakan pada kulit sehingga memecahkan tulang.

Pengetahuan dan pengajaran

Terdapat pelbagai lagi alat penderaan yang ngeri dipamerkan yang pastinya menceritakan penderitaan yang dialami oleh mereka yang menjadi mangsa ketika zaman pertengahan Eropah.

Antara alatan lain termasuk Branks (Topeng Muka), Head Crusher with Screw and Upper Cap (Alat Penghancur Kepala dengan Skru dan Penutup Kepala), Juda’s Cradle (Buaian Yahuda) dan The Garrote (Penjerut Leher).

Menurut Aziz, sejak pameran itu bermula pihaknya mendapat pelbagai reaksi daripada pengunjung terutama golongan pelajar sekolah mengenai peralatan penderaan yang dipamerkan.

Pameran itu sememangnya bersesuaian untuk pelajar sekolah kerana zaman pertengahan Eropah juga turut menjadi satu daripada topik dalam buku teks subjek Sejarah di sekolah menengah.

“Adalah amat penting untuk masyarakat hari ini terutama pelajar sekolah mengetahui sejarah ini dan mengambil iktibar daripadanya,” kata beliau.

Sejak pameran itu bermula pada 18 Nov lalu, kira-kira 700 pelawat termasuk pelancong luar negara mengunjungi Muzium Negeri, di sini untuk menyaksikan alat-alat penderaan itu yang sebelum ini tidak pernah mereka saksikan.

Ambil kesempatan

Orang ramai juga boleh mengambil kesempatan bersama keluarga untuk mengisi masa lapang dengan sesuatu yang berilmiah dan penuh pengajaran terutama pada musim cuti sekolah sekarang ini.

Apatah lagi, pameran ini merupakan yang terakhir sebelum alat-alat menyeramkan itu diterbangkan ke Sepanyol untuk dipamerkan di sana pula.

Kedudukan Muzium Negeri di sini yang berhampiran dengan Lebuh Raya Utara-Selatan juga memudahkan akses bagi mereka dari arah Utara atau Selatan.

Menurut Aziz, selain pameran itu, pengunjung juga berpeluang menyaksikan pameran lain yang terdapat di muzium itu seperti pameran setem, filateli, monumen dan tapak bersejarah.

Orang ramai yang ingin mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai Pameran Tortura atau pameran-pameran lain di muzium ini boleh menghubungi talian 06-7631149, atau layari laman web www.tortura.com.my.

– Bernama