Kementerian Pertanian akan pantau 57 ladang ternakan ayam

Kementerian Pertanian akan pantau 57 ladang ternakan ayam

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan memantau perkembangan 57 buah ladang ternakan ayam gred E di Muar dan Segamat yang diberi notis pemberitahuan penutupan ladang oleh kerajaan Johor.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan memantau perkembangan 57 buah ladang ternakan ayam gred E di Muar dan Segamat yang diberi notis pemberitahuan penutupan ladang oleh kerajaan Johor.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Chua Tee Yong berkata keputusan itu adalah hasil perbincangan antara kementerian berkenaan dengan persatuan penternak ayam dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri Johor semalam.

“Kita bersetuju untuk memantau perkembangan ladang-ladang ternakan ayam ini yang telah diberi Gred E dalam masa enam bulan lagi.

Pada masa sama kita mahu melihat komitmen penternak-penternak ayam ini meningkatkan prestasi ladang mereka,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di sini.

Beliau berkata kerajaan negeri Johor memutuskan untuk memberi notis penutupan ladang pada awal bulan ini setelah penternak ayam berkenaan gagal mematuhi spesifikasi ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dalam tempoh enam bulan bermula Mei lepas.

Beliau berkata pengeluaran notis itu antara lain berpunca daripada keadaan infrastruktur ladang-ladang ternakan yang sangat uzur dan tidak memuaskan.

Chua berharap kedua-dua pihak iaitu penternak ayam di 57 ladang itu dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dapat menjalin hubungan baik antara satu sama lain.

“Sekiranya hubungan di antara kedua-dua pihak ini baik ia sedikit sebanyak dapat menyelesaikan masalah yang timbul selama ini. Penternak akan tahu apa yang dikehendaki dan perlu dipatuhi dalam spesifikasi ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan sebaliknya,” katanya.

– Bernama