Amaran bahaya bagi kegiatan rekreasi pantai Johor Timur

Amaran bahaya bagi kegiatan rekreasi pantai Johor Timur

Amaran angin kencang dan laut bergelora kategori ketiga dan Ribut Tropika “Washi” terbentuk kira-kira 420 km ke Barat Laut Palawan, Filipina pada 5.45 pagi ini yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia.

Amaran angin kencang dan laut bergelora kategori ketiga dan Ribut Tropika “Washi” terbentuk kira-kira 420 km ke Barat Laut Palawan, Filipina pada 5.45 pagi ini (19 Dis 2011) yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zukifili Abu Bakar berkata, angin kencang Timur Laut dengan kelajuan dari 60kmsj dengan ketinggian ombak melebihi 5.5 meter dan disertakan dengan ribut petir yang berlaku di kawasan perairan Mersing, Tanjung Sedili, Desaru, Sungai Rengit dan sepanjang pantai Timur  Johor dijangka berterusan sehingga 29 Dis 2011 (Khamis).

Kawasan pantai Timur Johor juga dijangka terdedah kepada kenaikan paras air laut.

Beliau berkata, keadaan angin kencang dan laut bergelora ini merbahaya kepada semua aktiviti pantai, nelayan-nelayan kecil dan laut dalam dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak sepanjang pantai Johor Timur.

“Dimaklumkan juga ribut petir akan berlaku di perairan Johor Timur dan keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50km/j serta laut bergelora dengan  ombak mencapai ketinggian 3.5 meter dan merbahaya kepada bot-bot kecil.

See also  AirAsia resumes Vientiane route, connects all Asean nations

Katanya lagi, dalam masa seminggu sahaja berlaku dua kejadian mati lemas melibatkan seorang remaja berumur 19 tahun di pantai peranginan Tanjung Balau pada 14 Dis 2011 lalu dan semalam (18 Dis 2011) melibatkan dua remaja lagi berumur 14 tahun dan 21 tahun di pantai Desaru ketika mandi di pantai berkenaan.

“Ketika ini mangsa bertama pertama yang berumur 14 tahun telah ditemui semalam (18 Dis 2011) pada jam 1 petang oleh pasukan carilamat, sementara usaha mengesan remaja berusia 21 tahun masih dilakukan yang melibat pelbagai agensi keselamatan. Kejadian dimaklumkan berpunca daripada pengunjung yang melanggar amaran bahaya mandi laut melalui bendera merah yang dikibarkan.

“Kita mengingatkan ibu bapa atau penjaga tidak membawa anak-anak mereka berkelah dan mandi manda atau apa-apa kegiatan rekreasi di pantai memandang ketika ini musim tengkujuh sedang melanda perairan pantai Timur Johor.

“Meskipun ketika ini adalah musim cuti sekolah, banyak kegiatan-kegiatan lain bersama keluarga dapat dilakukan yang mana tidak melibatkan aktiviti dipantai yang mengundang bahaya melibatkan kehilangan nyawa.

See also  AirAsia resumes Vientiane route, connects all Asean nations

“Kita berharap pengguna jalan laut dan orang ramai boleh melayari laman web Maritim Malaysia iaitu mmea.gov.my untuk mendapatkan maklumat keadaan cuaca terkini sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut atau membawa ahli keluarga pergi berkelah dikawasan yang keadaan laut bergelora terutama di kawasan pantai.

“Keadaan ini amat merbahaya meskipun pengunjung tahu berenang memandangkan wujud arus laut tidak sepertimana berenang di kolam renang,” katanya.

Menurutnya lagi, pengusaha-pengusaha resort dan hotel di persisiran pantai adalah dinasihatkan untuk mengambil tindakan tegas bagi melarang pengunjung dari aktiviti mandi manda dan rekreasi di tepian pantai sepanjang musim tengkujuh bagi mengelak kejadian yang sama berulang.

“Maritim Malaysia berharap sebarang kejadian kemalangan dilaut dapat disalurkan dengan segera agar tindakan pantas dapat diambil oleh pasukan Penyelamat,” katanya lagi.

Sebarang maklumat boleh menghubungi terus Maritime Rescua Sub Centre (MRSC) Johor Bahru ditalian 07-2219231 atau Bilik Operasi Maritim Malaysia Wilayah Selatan 07-2199401 hingga 2199410 yang beroperasi 24 jam.

– Bernama