Pasaran harta menyederhana tahun depan

Pasaran harta dijangka menyederhana tahun depan dengan harga berkemungkinan menyaksikan pembetulan kecil disebabkan oleh persekitaran ekonomi global yang rapuh dengan krisis hutang Euro yang belum selesai dan ekonomi AS yang berterusan lemah.

Presiden Persatuan Penilai, Pengurus Harta, Ejen Harta Pusaka dan Perunding Harta dalam Sektor Swasta atau PEPS yang baru menamatkan tempoh jawatannya, James Wong, berkata pembetulan harga akan dapat dilihat dalam sektor pejabat, kondo mewah dan pangsapuri berperkhidmatan di pusat bandar Kuala Lumpur.

“Harga bagi harta tanah sektor industri dan peruncitan, bagaimanapun, masih stabil,” katanya pada satu taklimat media mengenai Sidang Kemuncak Harta Malaysia kelima 2012 yang akan diadakan pada 17 Januari tahun depan di Pusat Konvensyen Sime Darby.

Beliau berkata pembeli berpotensi juga berkurangan kerana bank-bank mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati terhadap pemberian pinjaman dan langkah-langkah mengetatkan peraturan bagi pembelian harta seperti nisbah 70 peratus pinjaman berbanding nilai bagi pembelian harta ketiga.

Kata Wong, kawasan-kawasan pertumbuhan baharu pembangunan harta terletak dalam kawasan sambungan landasan LRT dan laluan MRT Sungai-Buloh dan Kajang.

Kawasan-kawasan lain yang sedang dimajukan, katanya, ialah bandar-bandar kecil seperti Setiawan, Bentong, Segamat, Kota Kinabalu, Batu Pahat dan Sandakan yang penduduknya mempunyai kuasa membeli disebabkan harga komoditi yang melambung seperti harga getah dan minyak sawit mentah.

“Jualan harta dan harga di kawasan-kawasan ini semakin meningkat,” katanya. Juruukur Bertauliah/Penilai Pengurus Harta Berdaftar dan Ejen Harta Pusaka, Datuk Mani Usilappan, berkata kewujudan sistem pengangkutan yang baik akan mempengaruhi harga harta.

“Pasaran harta tahun ini baik, dengan unjuran ia mencecah 400,000 transaksi bernilai RM120 bilion tahun ini,” kata Mani.

Jawatankuasa eksekutif dan ahli PEPS, Foo Gee Jen, berkata kos tanah, kos tenaga buruh dan kos bahan yang semakin meningkat akan terus memberi tekanan kepada harga harta.

Sementara itu Presiden PEPS, Choy Yue Kwong, berkata bagaimanapun kemampuan tetap menjadi isu bagi banyak warga Malaysia kerana lonjakan harga harta tidak seiringan dengan kenaikan gaji.

Meskipun sekiranya pasaran harta bergerak ke arah segmen pasaran mewah dengan pemaju mempromosikan rumah-rumah mahal yang menampilkan konsep gaya hidup, kata Choy, kadar sewa tidak meningkat dengan ketara kerana banyak rakyat Malaysia masih mampu membayar kadar sewa yang tinggi.

“Kemampuan membeli rumah menjadi kebimbangan utama pembeli rumah kerana harga rumah yang semakin meningkat berbanding kadar upah yang tidak bergerak membimbangkan semua orang,” tegas Choy.

– Bernama

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE