Masalah brek antara faktor utama kenderaan gagal pemeriksaan Puspakom

Masalah sistem brek adalah antara faktor utama yang menyumbang kepada kegagalan kenderaan melepasi pemeriksaan oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Hisham Othman berkata tahun lalu, sebanyak 28 peratus kenderaan gagal pemeriksaan dengan 37 peratus berpunca daripada sistem brek tidak berfungsi dengan baik.

Sebab lain ialah masalah bahagian atas kenderaan iaitu 25 peratus, masalah gelinciran sisi (16 peratus) dan masalah asap (14 peratus), katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat bersama media di Pejabat Puspakom Melaka, semalam.

Katanya Puspakom memeriksa kira-kira 3 juta kenderaan setiap tahun meliputi 1.3 juta kenderaan komersial dan bakinya kenderaan awam.

Puspakom kini mempunyai 77 pusat pemeriksaan di seluruh negara dengan 53 cawangan tetap, 17 cawangan berjadual dan tujuh cawangan bergerak.

Sementara itu, Hisham berkata Puspakom Melaka memperuntukkan RM708,000 bagi menaik taraf premisnya yang dijangka siap pertengahan Januari ini.

Katanya kerja naik taraf itu meliputi pembinaan laluan Pemeriksaan Sewa Beli (HPI) sepanjang 50 meter yang akan memendekkan masa menunggu pelanggan.

“Pada masa sekarang Puspakom Melaka mempunyai tiga lorong laluan pemeriksaan dan melakukan sebanyak 250 pemeriksan sehari”, katanya.

– Bernama