Seramai 8,000 guru sandaran mengeluh kontrak membebankan

Seramai 8,000 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) mengeluh dan merayu kerajaan mempertimbangkan semula kontrak perkhidmatan baru mereka yang dianggap membebankan termasuk perlu hadir di sekolah pada hari Sabtu dan Ahad.

Pengerusi Jawatan Kuasa Bertindak GSTT Shamil Nor berkata penukaran daripada “Kontrak Khidmat kepada Kontrak untuk Berkhidmat juga menghendaki guru berkenaan memulangkan semula perbezaan gaji yang telah diterima sejak bulan Oktober hingga Disember berjumlah RM 3,476 setiap seorang.

“Kontrak yang baru ini juga tiada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain perlu hadir di sekolah tujuh hari seminggu termasuk cuti umum, sungguhpun tiada sesi pembelajaran atau gaji dipotong,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Pemuda UMNO, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Beliau juga berkata di samping itu kesemua mereka hanya dimaklumkan mengenai penukaran kontrak itu pada 10 Nov sedangkan kontrak ini telah berkuat kuasa pada 17 Okt.

“Walaupun kontrak yang baru ini telah berkuat kuasa namun saya dimaklumkan terdapat Pejabat Pendidikan Daerah yang masih tidak memaklumkan perkara itu kepada guru sandaran di daerah mereka sedangkan esok semua guru sandaran diminta menandatangani Surat Akujanji berhubung kontrak yang baru itu,” katanya.

Sementara itu Setiausaha Pemuda UMNO Datuk Megat Firdouz Megat Junid berkata pihaknya akan berbincang dengan pihak Kementerian Pelajaran bagi mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung masalah itu.

– Bernama

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE