Banjir kilat hari kedua berturut-turut di Kuala Lumpur

Hujan lebat petang ini menyebabkan beberapa batang jalan di bandaraya sekali lagi mengalami banjir kilat sehingga berlaku kesesakan, namun ia tidak seburuk semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata pihaknya difahamkan berlaku banjir kilat di Jalan Raja Chulan, Jalan Tun Razak, Jalan Sultan Ismail dan tempat letak kereta di Bukit Bintang namun keadaan adalah terkawal dan pihaknya tidak menerima sebarang panggilan kecemasan.

Beliau berkata pada lewat petang pihaknya menerima laporan berhubung Jalan Brunei, di Pudu dinaiki air.

“Kita terima panggilan kira-kira pukul 6.15 petang ini dan seramai tujuh anggota dari Balai Bomba Jalan Hang Tuah telah digerakkan ke situ.

“Namun keadaan terkawal dan anggota bomba beredar 45 minit kemudian” katanya ketika dihubungi hari ini.

– Bernama

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE