Rais: ‘Muzik Melayu sejak 1940an’ ketengahkan nilai sebenar

Nilai sebenar muzik tanah air telah dapat diketengahkan dalam buku Muzik Melayu sejak 1940a karya Yusnor Ef, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata buku itu “dapat memberi perasaan nilai muzik tanah air lebih daripada apa yang disangka dan diketahui oleh orang ramai.”

Malah melalui buku hasil nukilan penulis lirik veteran Singapura ini, RTM boleh membuat olahan lagu lama dan baru, katanya semasa melancarkan buku itu yang menceritakan sejarah muzik Melayu sejak zaman 1940-an hingga lewat 1970-an.

“Mungkin boleh kita sedut daripada beberapa pandangan beliau untuk kita sajikan dalam (program) jalinan hiburan dan jalinan warisan,” katanya.

Rais berharap buku yang meliputi peranan industri perfileman dalam membangkitkan lagu-lagu Melayu dan peranan tokoh-tokoh muzik Melayu seperti Zubir Said, A. Rahman dan P. Ramlee dapat dipopularkan di perpustakaan desa seluruh negara.

Rais berharap buku hasil tulisan Presiden Persatuan Karyawan Muzik Melayu Singapura (Perkamus) dan juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Muzik Melayu Majlis Seni Kebangsaan (NAC) ini dapat menggalakkan penulis tempatan menghasilkan karya mengenai muzik tanah air.

Beliau berkata Malaysia tidak menafikan Singapura merupakan tapak awal kepada perkembangan muzik di nusantara.

“Penyanyi seperti Ahmad Jais, Nona Asiah, Momo Latif, malah P.Ramlee sendiri bertapak di Singapura, sebelum menjelajah ke Semenanjung.

“Kita tidak boleh membuat pagar misalnya untuk pisahkan Malaysia, Singapura dan Indonesia. Ini tidak wajar. Kita mesti lihat ini sebagai kenusantaraan industri muzik kreatif di rantau ini,” katanya.

Yusnor sejak 1959 telah menghasilkan 250 lirik lagu, termasuk lagu-lagu Allahyarham P. Ramlee serta turut menghasilkan buku “P Ramlee Yang Saya Kenal.”

– Bernama

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE