Mangsa banjir di Pahang hampir cecah 3,000 orang

Mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di dua daerah di Pahang meningkat kepada 2,894 orang pagi ini.

Jurucakap bilik gerakan banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, sehingga pukul 8 pagi ini, daerah Kuantan mencatatkan seramai 2,414 mangsa banjir melibatkan 716 keluarga.

“Sebanyak 21 buah kampung di Kuantan terbabit banjir dan semua mangsa ditempatkan di 14 buah pusat pemindahan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Di daerah Rompin, seramai 480 mangsa daripada 114 keluarga ditempatkan di pusat-pusat pemindahan banjir di daerah itu, katanya.

Beliau berkata banjir di daerah itu melibatkan enam buah kampung dan kesemua mangsa ditempatkan di empat pusat pemindahan.

– Bernama