Tren tergelincir, KTM Intercity alami gangguan

Perkhidmatan KTM Intercity mengalamai gangguan perkhidmatan selepas tren Ekspres Sinaran Utara (No 10) yang dalam perjalanan dari Sentral KL Ke Butterworth tergelincir di Kilometer 103.75 (Padang Rengas-Taiping) semalam.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan memberitahu kejadian pukul 1.45 petang itu menyebabkan 160 penumpang terpaksa dipindahkan ke stesen Padang Rengas sebelum dibawa ke stesen Butterworth.

Bagaimanapun, KTMB berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kerja-kerja baik pulih sedang dijalankan. Perkhidmatan Ekspres Sinaran Utara (No 10) dibatalkan manakala perkhidmatan tren Ekspres Sinaran Utara (No 11) pula terpaksa ditamatkan di stesen Bukit Mertajam dan penumpang dipindahkan ke setsen Sentral KL.

Berikutan insiden itu, KTMB berkata perkhidmatan tren Ekspres Rakyat (No 2) dari Sentral KL ke Butterworth dibatalkan.

Bagaimanapun, kenyataan itu menyebut perkhidmatan bas perantaraan dari Sentral KL ke Butterworth disediakan bagi penumpang yang membuat perjalanan dari Woodlands/JB Sentral.

Bagi Ekspres Senandung Langkawi (No 22), perkhidmatan tren ditamatkan di stesen Ipoh dan penumpang akan menaiki bas perantaraan ke stesen Taiping untuk meneruskan perjalanan dengan tren ke Padang Besar/ Hat Yai.

“Bagi Ekspres Senandung Langkawi (No 21) perkhidmatan tren ditamatkan di stesen Taiping, penumpang akan dibawa menaiki bas perantaraan ke stesen Ipoh bagi meneruskan perjalanan dengan tren stesen Sentral KL,” kata KTMB. Selain itu, perkhidmatan Ekpress Senandung Mutiara (No 22 & 23) terpaksa dibatalkan.

KTMB berkata penumpang boleh mendapatkan tambang pemulangan tiket di stesen bagi perkhidmatan yang terjejas.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dengan menghubungi KTMB Carline di talian 1-300-88-5852.

– Bernama