IPTS perlu lapor jika penuntut asing tidak hadir kelas

Semua Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang mempunyai penuntut asing kini diwajibkan melapor segera kepada Jabatan Imigresen jika ada di kalangan penuntut berkenaan tidak menghadiri kelas selama tiga hari berturut-turut.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata pihak pentadbiran IPTS juga perlu memohon Pas Pelajar daripada Jabatan Imigresen bagi mengelakkan tindakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Satu jawatankuasa bertindak yang diketuai oleh KDN juga telah dibentuk bagi membolehkan pihak berkuasa mengawal tingkah laku pelajar asing ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Eksekutif Muda 2011 di sini hari ini.

Beliau berkata ini merupakan antara langkah yang diambil bagi menentukan hanya penuntut tulen yang dibenar mengikuti pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan IPTS di negara ini.

Saifuddin mengulas laporan media berhubung peningkatan penuntut asing IPTS terutama dari benua Afrika yang terbabit dalam kegiatan jenayah selain tinggal melebihi masa ditetapkan di negara ini.

Sehubungan itu beliau meminta IPTA dan IPTS supaya sentiasa memberikan maklumat dan data terbaru mengenai penuntut asing kepada kementerian bagi memantau sama ada mereka komited untuk belajar atau sekadar membuang masa dan menganggu ketenteraman awam.

– Bernama

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE