MAHB bersedia meterai SLA dengan AirAsia

MAHB bersedia meterai SLA dengan AirAsia

MAHB menyatakan kesediannya untuk menyediakan perjanjian tahap perkhidmatan (SLA) dengan AirAsia Bhd bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan LCCT.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menyatakan kesediannya untuk menyediakan perjanjian tahap perkhidmatan (SLA) dengan AirAsia Bhd bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Terminal Syarikat Penerbangan Tambang Rendah (LCCT), sebagai respons terhadap gesaan syarikat penerbangan tambang rendah itu untuk memperoleh SLA yang spesifik.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hampir sembilan jam selepas sidang media oleh AirAsia semalam, MAHB berkata ia kini menunggu cadangan SLA terbabit daripada syarikat penerbangan tambang rendah itu untuk dikaji dan dipertimbangkan.

Perjanjian tahap perkhidmatan merupakan sebahagian daripada kontrak perkhidmatan, dengan tahap perkhidmatan dinyatakan secara rasmi.

Terma SLA kadang-kala digunakan untuk merujuk kepada masa penyampaian kontrak (perkhidmatan) atau prestasi.

Penyewa utama LCCT, AirAsia, kini mempunyai perjanjian Syarat Penggunaan (CoU) dengan MAHB.

Operator lapangan terbang itu menjalin perjanjian CoU dengan rakan syarikat penerbangan, selain pengendali darat di KLIA.

“CoU menggariskan panduan mengenai penggunaan kemudahan lapangan terbang, terutama membabitkan penggunaan kemudahan lapangan terbang secara selamat dan terjamin, selain jadual caj-caj lapangan terbang yang dikenakan.

See also  Melaka PARKROYAL: Where luxury meets heritage

“Ini selari dengan amalan biasa industri.

“Kami juga mengulangi bahwa caj-caj lapangan terbang, semasa dan akan datang, dikawal oleh kerajaan dan mekanisme peningkatan akan datang, jelas diperhalusi dalam Perjanjian Operasi dengan Kerajaan,” kata MAHB.

Dalam perkembangan berkaitan, MAHB menolak gesaan AirAsia untuk menubuhkan Jawatankuasa Kerja Bersama, memandangkan sudah ada mesyuarat mingguan dengan AirAsia dan pemegang kepentingan yang lain, yang berperanan sebagai platform untuk mendengar segala padangan dan keperluan untuk dibincangkan dan ditangani, selain kebanyakan permintaan AirAsia sudahpun dipenuhi.

“Hanya isu-isu yang membabitkan implikasi kewangan dirujuk kepada Lembaga Pengarah. Kami akan terus melibatkan AirAsia pada mesyuarat-mesyuarat mingguan.

“Dalam mengurus isu-isu yang dibangkitkan oleh rakan usaha sama, Malaysia Airports sentiasa menganggap is-isu yang dibangkitkan oleh mana-mana pihak diselesaikan menerusi perunding yang bersesuaian,” katanya.

See also  AirAsia introduces 22,000 fixed-fare seats for Hari Raya travel

Operator lapangan terbang itu bagaimanapun berkata dari semasa ke semasa ia bertanggungjawab untuk membuat penjelasan supaya orang ramai mendapat maklumat tepat dan membuat perspektif yang seimbang.

Mengenai dakwaan AirAsia bahawa tanah yang dipilih untuk membangunkan KLIA2 tidak sesuai, MAHB berkata tapak sedia ada untuk KLIA2 dipilih berasaskan Pelan Induk Lapangan Terbang Kebangsaan (NAMP) selepas kajian terperinci dan menyeluruh dilakukan oleh kesemua pemegang kepentingan MAHB, termasuk Kementerian Pengangkutan, Jabatan Penerbangan Awam, Kementerian Kewangan, Kementerian Dalam Negeri dan semua syarikat penerbangan, termasuk AirAsia.

“Kami berharap berdasarkan penjelasan yang dibuat ini, dan sejak minggu lepas yang membabitkan isu yang dibangkitkan, kami menunggu untuk bekerja bersama sama rakan usaha sama dalam memastikan kejayaan pembangunan KLIA2 untuk manfaat negara,” kata MAHB.

– Bernama