Projek tebatan banjir tertangguh sebabkan banjir di Kajang

Projek tebatan banjir tertangguh sebabkan banjir di Kajang

Penangguhan kerja-kerja projek fasa pertama tebatan banjir di Sungai Jelok, Kajang didapati antara punca berlakunya banjir kilat di bandar itu Jumaat lepas.

Penangguhan kerja-kerja projek fasa pertama tebatan banjir di Sungai Jelok, Kajang didapati antara punca berlakunya banjir kilat di bandar itu Jumaat lepas.

Pengarah Sumber Air dan Hidrologi Malaysia Hanapi Mohamad Noor berkata projek tebatan banjir itu tertangguh ekoran kegagalan Majlis Perbandaran Kajang (MPK) memindahkan 21 premis kedai yang beroperasi di tebing sungai itu.

“Setahun yang lepas kita memulakan kerja-kerja membina tebatan banjir di Sungai Jelok, Kajang namun projek itu terpaksa dihentikan separuh jalan kerana terdapat 21 kedai sementara beroperasi di kawasan kira-kira 200 meter dari tapak projek di tebing sungai itu.

“Pihak Majlis Perbandaran telah dimaklumkan untuk memindahkan kedai-kedai yang terlibat. Namun sehingga kini tiada tindakan diambil untuk memindahkan kedai yang bersatus sementara itu,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran persidangan antarabangsa mengenai pengurusan sungai.

Hanapi berkata projek tebatan banjir setinggi 100 meter itu dijadual siap sepenuhnya dalam tempoh enam bulan.

Beliau berkata selain itu, perbuatan membuang sampah yang tidak terkawal ke dalam sungai berkenaan turut menyumbang kepada bencana banjir kilat itu.

“Masalah pembuangan sampah ke dalam sungai yang tidak terkawal menyebabkan laluan air tersumbat, tambahan pula kedudukan jambatan yang menjadi penghubung Sungai Jelok hanya setinggi kira-kira dua meter dari paras air. Air melimpah keluar sehingga turut menyebabkan kerosakan jambatan itu,” katanya.

Hujan lebat selama dua jam dengan kadar purata 80mm di kawasan Kajang Jumaat lepas mengakibatkan banjir sedalam 1.5 meter di pusat bandar itu.

Sementara itu Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Datuk Ahmad Husaini Sulaiman berkata jabatan itu telah bersiap sedia bagi menghadapi bencana banjir.

Antara persiapan yang dilakukan ialah menubuhkan sistem ramalan dan amaran banjir di lembangan sungai-sungai di kawasan rendah dan berisko banjir, katanya.

– Bernama