Penoreh getah maut diserang babi hutan

Seorang penoreh getah maut diserang seekor babi hutan, manakala dua termasuk isteri mangsa cedera dalam satu kejadian di kawasan kebun getah dekat kampung Jerkoh, Benta.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari semalam itu, mangsa, Wahab Saad, 59, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di badan.

Ketua Polis Daerah Lipis Supt Abdul Razak Hassan berkata ketika kejadian, mangsa sedang menoreh getah, dan tiba-tiba muncul seekor babi hutan dan menyerangnya.

“Mangsa diserang babi hutan berkenaan dan kemudian terjatuh ke dalam anak sungai, isteri mangsa, Napisah Aman, 50, yang sedang memasak di sebuah pondok berdekatan cuba membantu mangsa tapi turut diserang haiwan terbabit,” katanya kepada pemberita di sini.

Haiwan berkenaan kemudiannya turut menyerang seorang lagi penoreh getah di kebun bersebelahan.

Penoreh terbabit yang dikenali Chong Chung, 68, bagaimanapun berjaya membunuh haiwan berkenaan selepas bertindak menetaknya beberapa kali dengan parang.

Chong yang turut cedera parah di badan kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh manakala isteri kepada mangsa yang maut, Napisah cedera di  kaki dan menerima rawatan pesakit luar di Hospital Lipis.

– Bernama

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE