Sumber perikanan negera boleh pupus jika tangkapan tidak dikawal

Sumber perikanan di perairan negara mungkin pupus jika nelayan tidak seiringan dengan kerajaan dalam usaha mengekalkan sumber sedia ada, kata Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood.

Bercakap kepada pemberita pada Program Keprihatinan Pengurusan Sumber Marin peringkat negeri Perlis di Kuala Sungai Baru dekat sini hari ini, beliau berkata fenomena kekurangan sumber perikanan itu bukan sahaja berlaku di perairan negara ini malah penyelidik Amerika Syarikat meramalkan menjelang tahun 2048, tiada lagi ikan di lautan.

“Itu ramalan di Amerika Syarikat tetapi di perairan negara ini, kerajaan sentiasa berusaha memastikan sumber perikanan yang sedia ada terus bertahan,” katanya.

Beliau berkata, walaupun ikan boleh membiak dan berkembang secara semula jadi tetapi jika kegiatan menangkapnya tidak diurus secara terkawal, ia boleh menyebabkan kepupusan hasil laut.

Ahamad Sabki berkata eksploitasi berlebihan di perairan pantai yang merupakan kawasan pembiakan dan pembesaran ikan turut menjadi punca kekurangan sumber laut itu di samping pencemaran akibat pembuangan sampah, sisa industri dan tumpahan minyak.

Beliau berkata kerajaan telah memperkenalkan program Rakan Fish yang membolehkan nelayan bertindak menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa jika terdapat kegiatan yang boleh merugikan sumber perikanan di laut.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Perlis, Sabry Ahmad, ketika merasmikan Program Keprihatinan Pengurusan Sumber Marin berkata, sepanjang tahun lalu, 160,000 tan metrik hasil perikanan bernilai RM710 juta didarat di Perlis, menjadikan negeri itu sebagai pengeluar kedua terbesar hasil perikanan selepas Perak.

Meskipun demikian, katanya, sejak empat tahun kebelakangan ini, penghasilannya merosot antara 2.3 peratus dan 10.2 peratus.

Sempena program itu, Sabry menyampaikan benih ikan kepada beberapa penternak di samping melepaskan benih ikan di perairan Perlis berhampiran Pulau Batu Layang dekat sini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Dr James Dawos Mamit yang berkata kawasan pinggir laut di Perlis sesuai sebagai tarikan pelancong kerana terdapat pelbagai spesies burung termasuk bangau.

– Bernama