Orang Asli khuatir kebersihan air Sungai Belatop

Masyarakat Orang Asli di sekitar Pos Brooke dan Lojing dekat Gua Musang semakin bimbang untuk menggunakan air Sungai Belatop berikutan keadaan berlumpur yang serius sejak dua minggu lalu.

Ini berikutan kegiatan pembukaan tanah untuk ladang sayuran di kawasan Tanah Tinggi Lojing yang menyebabkan air hujan dari bukit terbabit mengalir ke sungai berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JKKKOA) Pos Brooke, Rashid Akoh berkata penggunaan air sungai yang kotor itu mendedahkan penduduk Orang Asli kepada pelbagai penyakit.

Beliau berkata walaupun kebanyakan penduduk kaum itu sudah mendapat kemudahan bekalan air bersih, namun masih ada mereka yang tinggal di kampung terpencil menggunakan air sungai untuk keperluan harian.

“Keadaan air sungai itu yang bertambah kotor dan berlumpur kerana hujan sejak musim tengkujuh dua minggu lalu menyebabkan penduduk kaum berkenaan tidak lagi menggunakan air sungai terbabit,” katanya kepada Bernama.

Rashid berkata kerajaan negeri nampaknya langsung tidak mengambil usaha yang lebih tegas bagi menangani masalah itu dan kegiatan pembukaan tanah juga semakin meluas ke kawasan penempatan Orang Asli di Pos Brooke dan Jedip.

Seorang penduduk, Angah Bongsu, 45, berkata, kehidupan penduduk Orang Asli diancam pelbagai masalah sejak kebekalangan ini dan masalah yang dikemukakan itu tidak pernah diatasi.

Beliau berkata masalah utama berkaitan pencemaran sungai ialah kegiatan pembukaan tanah untuk tujuan ladang sayuran yang tidak dipantau dengan baik sehingga membawa kepada kejadian berkenaan.

– Bernama

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE