Belajar bahasa Jepun menerusi komik bantu pelajar lanjut pelajaran

Belajar bahasa Jepun menerusi komik bantu pelajar lanjut pelajaran

Belajar sambil berhibur; itulah konsep yang diamalkan Mohamad Shahadan, anak kepada peneroka Felda dari Segamat, sehingga melayakkan beliau memperoleh biasiswa.

Belajar sambil berhibur; itulah konsep yang diamalkan Mohamad Shahadan Abd Hamid, 20, anak kepada peneroka Felda dari Segamat, Johor, sehingga melayakkan beliau memperoleh biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke Jepun.

Cara pembelajaran beliau amat mudah — membaca sambil memahami maksud komik dalam bahasa Jepun, bagi membantunya menguasai bahasa tersebut yang digunakan dalam pembelajaran sehari-hari.

“Pada pandangan saya, kaedah ini berkesan 60 peratus dalam membantu saya membaiki penguasaan bahasa Jepun berbanding latihan dalam kelas. Tapi saya tidak bermaksud cara biasa tidak berkesan langsung…saya juga masih lagi mengulang kaji pelajaran seawal 12 tengah malam selama dua jam,” katanya sambil menambah beliau mengambil masa setahun setengah untuk menguasai bahasa tersebut.

Shahadan, pelajar tahun akhir Kejuruteraan Elektrik Yayasan Pelajaran Mara (YPM) merupakan salah seorang daripada 86 orang pelajar yang menerima biasiswa di bawah Projek Dana Pinjaman Pendidikan Tinggi (DPPT) yang terpilih untuk ke Jepun bagi melanjutkan pelajaran di bawah program Japanese Associate Degree (JAD), Mac depan.

See also  APU lecturer Eekang Ooi earns top design certification 

Biasiswa itu disampaikan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal pada satu majlis di sini hari ini.

Shahadan berkata faktor kewangan juga bukan alasan bagi seseorang itu untuk tidak menimba ilmu bagi melanjutkan pelajaran ke luar negara jika peluang yang ditawarkan menjanjikan masa depan yang cerah dan terjamin.

“Saya gembira kerana terpilih untuk mengikuti program tersebut kerana untuk sampai ke tahap ini memerlukan usaha yang gigih kerana subjek yang diajar merupakan sepenuhnya dalam bahasa Jepun,” katanya.

Sementara itu, Qatrun Nada Mohammmed Hassanuddin, 20, yang berasal dari Kuantan, Pahang, menyatakan rasa syukur apabila turut terpilih menyertai program yang menawarkan tajaan biasiswa sebanyak RM400,000 dari DPPT untuk tempoh lima tahun.

See also  APU welcomes Fulbright Scholar Dr. Kelly McKenna

“Tidak mudah untuk memperoleh peluang seperti ini…selepas melihat kakak sulung melanjutkan pelajaran ke Rusia, timbul keinginan untuk mengikut jejak langkahnya,” katan beliau.

Beliau turut berpegang kepada kata-kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Malaysia berpotensi untuk seiring dengan Jepun dalam bidang teknologi jika rakyat mengubah mentaliti untuk setanding dengan rakyat di negara matahari terbit itu, sebagai pembakar semangatnya untuk terus berjaya.

DPPT dilaksanakan sejak 2005 yang merupakan Projek Pendidikan Tinggi Jepun kerajaan Malaysia di bawah Dasar Pandang ke Timur yang diilhamkan Dr Mahathir ketika menjadi perdana menteri.

YPM dilantik sebagai agensi pelaksana Projek DPPT yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia melalui Gerakan Pengurusan Projek dan Pinjaman Kerajaan Malaysia daripada Kerajaan Jepun.

– Bernama