Taman Tun Sardon: Masalah tangki pembentungan najis melimpah

PULAU PINANG – Angkara kecurian penutup besi tangki pembentungan najis menyebabkan tangki tersumbat dan melimpah. [VIDEO]

Angkara kecurian penutup besi tangki pembentungan najis menyebabkan tangki tersumbat dan melimpah.

Keadaan ini menyebabkan penduduk rumah peralihan di Pintasan Pemanchar Empat, Taman Tun Sardon terpaksa menghidu bau busuk limpahan tangki najis sejak 8 bulan lalu.

Limpahan air najis yang mengalir ke parit berhampiran membimbangkan penduduk kerana pencemaran boleh mendatangkan penyakit merbahaya kepada penduduk setempat. Malahan takungan air najis menjadi tempat pembiakan nyamuk dan lalat.

Menurut penduduk setempat limpahan air najis bertambah buruk ketika hujan dimana air najis akan melimpah keluar dan membanjiri jalan laluan umum ke Astaka-Pasar Taman Tun Sardon.

Penduduk juga khuatir tangki najis sedalam 1.2 meter yang terdedah boleh mengundang kecelakaan kepada kanak-kanak yang menggunakan laluan ini.

Citizen Journalists Malaysia (CJMY) difahamkan oleh penduduk walaupun telah berulang kali aduan dibuat kepada Pejabat Perumahan Taman Tun Sardon, namun tiada sebarang tindakan diambil sehingga ke hari ini.

Malah, penduduk diberitahu oleh Pejabat Perumahan yang mereka tidak lagi bertanggungjawap keatas penyelenggaraan tangki tersebut dan mencadangkan agar penduduk setempat membuat kutipan dana untuk perkhidmatan penyelenggaraan tangki pembentungan oleh Indah Water Konsortium (IWK).

Penduduk yang kecewa dengan jawapan yang diterima dari Pejabat Perumahan Taman Tun Sardon telah membuat aduan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima Sanisvara Nethaji Rayer.

See also  Volunteers unite for largest Earth Day cleanup in Penang

Menurut penduduk setempat, sejurus aduan dibuat wakil pejabat ADUN Seri Delima membuat tinjauan dan mengambil gambar limpahan tangki pembentungan najis.

Penduduk diberitahu oleh wakil pejabat Adun Seri Delima bahawa mereka akan mengambil tindakan sewajarnya dengan kadar segera. Tetapi lebih mengecewakan hingga ke hari masalah tinggal masalah tanpa sebarang penyelesaian dilakukan untuk menangani isu limpahan tangki pembentungan najis ini oleh Adun Seri Delima.

CJMY telah pun ke Pejabat Perumahan Taman Tun Sardon untuk mendapatkan reaksi Pejabat Perumahan berhubung masalah yang berlanjutan ini.

Jawapan yang diterima dari Pejabat Perumahan adalah sejak bulan Julai 2009 kerajaan negeri telah memutuskan untuk menamatkan kutipan duit bulanan penyelengaraan bagi semua perumahan rumah teres termasuk rumah peralihan teres Taman Tun Sardon.

Oleh yang demikian Pejabat Perumahan tidak lagi mengendalikan pengurusan dan penyelenggaraan tangki pembentungan najis di kawasan perumahan peralihan Taman Tun Sardon.

CJMY difahamkan Pejabat Perumahan masih lagi menguruskan penyelenggaraan tangki pembentungan najis bagi kawasan perumahan flat Taman Tun Sardon.

See also  Malaysians overwhelmingly support end to single-use plastics

Ini bermaksud penamatan pengurusan tangki pembentungan hanya membabitkan kawasan perumahan peralihan Taman Tun Sardon sahaja.

Cadangan Pejabat Perumahan kepada penduduk perumahan peralihan adalah agar;
1) Aduan dibuat kepada JKKK Taman Tun Sardon.
2) Aduan dibuat kepada ADUN setempat.
3) Membuat kutipan dana untuk khidmat penyelenggaraan tangki pembentungan oleh IWK.

Tegas penduduk setempat masalah limpahan tangki tidak akan wujud sekiranya Pejabat Perumahan masih mengendlikan pengurusan tangki pembentungan najis sepertimana khidmat penyelenggaraan diteruskan untuk perumahan flat Taman Tun Sardon.

Keputusan kerajaan negeri menamatkan pengurusan pembentungan najis tanpa perancangan penyerahan khidmat penyelenggaraan menyebabkan tangki pembentungan najis kawasan perumahan peralihan Taman Tun Sardon terbiar begitu sahaja sejak tahun 2009.

Penduduk setempat amat hampa kerana hingga ke hari ini tidak ada pihak yang tampil kehadapan untuk menyelesaikan masalah mereka.

Persoalan mereka, apakah hanya dengan cadangan dan nasihat dapat menangani masalah pencemaran yang dialamai oleh penduduk sejak 8 bulan lalu.

Usaha dan kerjasama secara proaktif dan kolektif dari semua pihak dapat membantu menyelesaikan limpahan tangki pembentungan najis dan menjamin pencegahan pencemaran demi mengekalkan persekitaran yang bersih dan sihat.

Kana S Murugaian