Banjir dikhuatiri jejas projek pertanian

Banjir dikhuatiri jejas projek pertanian

Beberapa kawasan pertanian dan ternakan air di daerah ini dikhuatiri terjejas berikutan banjir yang melanda sejak tiga hari lepas.

Beberapa kawasan pertanian dan ternakan air di daerah ini dikhuatiri terjejas berikutan banjir yang melanda sejak tiga hari lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Asha’ari Idris berkata antara projek yang sedang diusahakan ialah tanaman kelapa matag dan kelapa pandan di Gong Terap serta projek ternakan udang di Kampung Nyatuh di sini.

“Luas keseluruhan projek tanaman kelapa yang dijalankan Pejabat Pertanian melibatkan 200 hektar,” katanya ketika ditemui semasa meninjau beberapa kawasan banjir di daerah itu hari ini.

Asha’ari berkata yang dikhuatiri terjejas teruk adalah projek ternakan udang berskala besar di Kampung Nyatuh melibatkan kawasan seluas 1,000 hektar oleh syarikat Blue Archipelago Berhad, yang baru melepaskan benih-benih udang sejak sebulan lepas.

“Setakat ini kawasan berkenaan masih selamat daripada banjir. Tetapi kita khuatir banjir semakin buruk dan inilah ujian bagi kita,” katanya.

Asha’ari berkata sehingga ini beliau tidak mempunyai maklumat berhubung dengan projek pertanian lain seperti tanaman sayur, cili dan lain-lain yang terjejas akibat banjir.

– Bernama