Sarawak sudah bersedia hadapi kemungkinan banjir

Sarawak sudah bersedia menghadapi kemungkinan banjir dengan Jawatankuasa Bantuan dan Bencana Negeri memaklumkan kepada Residen di 11 bahagian supaya mengambil langkah perlu dengan segera.

Timbalan Ketua Menteri yang juga pengerusi jawatankuasa tersebut Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata langkah tersebut khasnya waspada dalam tempoh 24 jam dan bertindak segera menyelamatkan mangsa sekiranya banjir berlaku.

“Walaupun ramalan mengatakan cuaca negeri ini berkeadaan normal dalam tempoh tiga bulan, Sarawak tidak memandangnya ringan, persediaan awal perlu dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Jabu berkata beliau akan memohon bantuan daripada kerajaan pusat dari segi kewangan dan logistik untuk keperluan pusat bekalan makanan di setiap kawasan yang dikenalpasti.

Menurutnya, setiap bahagian akan dipecahkan kepada beberapa zon supaya agihan operasi dan tugas membantu mangsa banjir dapat dilakukan lebih cepat dan berkesan.

– Bernama