Banjir di Kelantan semakin buruk

Banjir di Kelantan semakin buruk

Banjir di Kelantan semakin buruk apabila dua beradik lelaki menjadi korban manakala dua lagi dikhuatiri lemas, walaupun beberapa keadaan di tempat lain dilaporkan semakin reda sehingga malam Rabu.

Banjir di Kelantan semakin buruk apabila dua beradik lelaki menjadi korban manakala dua lagi dikhuatiri lemas, walaupun beberapa keadaan di tempat lain dilaporkan semakin reda sehingga malam Rabu.

Jabatan Bomba Kelantan melaporkan dua beradik itu maut di Bachok petang tadi manakala dua lagi mangsa dikhuatiri lemas di Pasir Mas.

Jumlah mangsa yang dipindah bertambah dari 227 kepada 416 orang di sembilan pusat pemindahan di daerah Kota Bharu (Sekolah Kebangsaan (SK) Mulong, SK Tiong dan Sekolah Menengah (SM) Melor), Pasir Mas (SK Bukit Jarum dan Masjid Gabus), Pasir Puteh (SK Bukit Awang) dan Tanah Merah (SK Kulim, Madrasah Padang Kija dan Madrasah Becah Palas Lubuk Agor)

Selain itu, lalu lintas ditutup kepada semua kenderaan di Machang (Jalan Machang-Pangkal Meleret-Wakaf Bata), Pasir Puteh (Kilometer 1 Jalan Banir Belikong-Tasik Pauh) dan Tanah Merah (Kilometer 3, Jalan Tanah Merah-Kusial-Kampung Ipoh).

Empat sungai utama pula berada di paras amaran iaitu Sungai Lebir di Tualang, Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Sungai Golok di Jenob dan Sungai Golok di Rantau Panjang.

Di TERENGGANU, keadaan banjir tidak menghalang hampir 50 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia menaiki bot ke pusat peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Menerong, Hulu Terengganu apabila kampung mereka ditenggelami air.

Jumlah mangsa yang dipindahkan menurun dari 1,406 orang (Setiu, 671; Besut, 560 dan Hulu Terengganu, 175) pada tengah hari tadi kepada 1,296 orang (Setiu, 829; Besut, 362; dan Hulu Terengganu, 105) malam ini, manakala 25 pusat pemindahan masih beroperasi di Besut (12), Hulu Terengganu (2) dan Setiu (11).

Paras air sungai di beberapa tempat juga dilaporkan melebihi paras bahaya iaitu di Setiu (Kampung Langkap, Jambatan Permaisuri dan Jambatan Calok), Hulu Terengganu (Kuala Ping dan Kuala Jengai) dan Besut (Kampung La).

Di JOHOR, seramai 16 mangsa banjir terdiri daripada tiga keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan Balai Raya Kampung Cahaya, Air Hitam sehingga petang hari ini.

– Bernama