Dua remaja dikhuatiri lemas di Bachok

Dua remaja lelaki dikhuatiri lemas di kawasan parit di Kampung Tualang Salak, Bachok, yang kini dinaiki air.

Jurucakap Bomba Kelantan berkata pihak bomba menerima laporan tentang insiden lemas tersebut kira-kira 3 petang ini dipercayai melibatkan dua remaja berumur 14 dan 16 tahun.

“Bagaimanapun kita masih belum mempunyai maklumat lengkap dan operasi mencari mangsa sedang dijalankan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu keadaan banjir di Kelantan petang ini reda sedikit apabila berlaku penurunan jumlah mangsa pemindahan iaitu seramai 227 orang berbanding 235 orang yang dilaporkan pagi tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri berkata sehingga kini tiga pusat pemindahan masih dibuka di dua daerah iaitu dua di Kota Baharu dan satu di Pasir Puteh.

“Sementara itu dua jalan telah ditutup kepada semua kenderaan iaitu di Jalan Machang-Pangkal Meleret-Wakaf Bata di Machang dan di Kilometer 3, Jalan Tanah Merah-Kusial-Kampung Ipoh di Tanah Merah,” katanya.

Beliau berkata empat sungai utama di Kelantan kini berada di paras amaran dan dua sungai di paras berjaga-jaga.

Katanya sungai yang berada di paras amaran itu ialah Sungai Lebir di Tualang, Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Sungai Golok di Jenob dan Sungai Golok di Rantau Panjang.

– Bernama

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE