Sultan Selangor dukacita sikap rakyat kritik polis

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini melahirkan rasa dukacita baginda dengan sikap segelintir rakyat di negeri ini yang mengkritik dan mencaci pihak polis yang menjalankan tanggungjawab mereka.

Baginda bertitah perbuatan itu patut dielakkan kerana suasana harmoni dan selesa yang dirasai masyarakat berbilang kaum di Selangor selama ini adalah hasil usaha pasukan keselamatan yang berjaya menjaga keamanan dan kesejahteraan.

“Ada juga rakyat yang sengaja tidak mahu mendengar dan degil dengan arahan-arahan pihak polis bagi mengelak kekacauan dan huru-hara.

“Anggaplah polis sebagai rakan kita yang sanggup berkorban untuk membantu membanteras jenayah dan bukannya pihak yang menyusahkan rakyat,” titah baginda
ketika merasmikan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam yang baru di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin menasihatkan anggota polis supaya menjalankan tugas mengikut undang-undang yang ditetapkan dan tidak
menyalahgunakan status demi kepentingan peribadi.

Baginda menarik perhatian bahawa polis sering dipersalahkan oleh pihak tertentu yang cuba memburukkan imej pasukan keselamatan itu di mata masyarakat.

Sehubungan itu, baginda meminta pihak polis menghindari gejala seperti rasuah, salah guna kuasa dan penyalagunaan dadah.

Sultan Sharafuddin bertitah pihak polis harus lebih bertanggungjawab dan berhati-hati bagi memastikan bahan bukti untuk setiap kes yang dikendalikan dijaga rapi kerana kehilangan ataupun kerosakan bahan bukti boleh menjurus kepada pesalah terlepas daripada menerima hukuman sewajarnya.

“Kehilangan atau kerosakan barang bukti juga boleh menyebabkan integriti pihak polis dipersoalkan masyarakat,” titah baginda yang turut mahu program polis bersama rakyat diperbanyakkan dalam usaha menangani kadar jenayah di Selangor.

Dalam ucapannya, Ismail berkata sebanyak 37,702 kes jenayah dilaporkan antara Januari dan Oktober tahun ini berbanding 41,345 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata penurunan itu ialah hasil kerja keras anggota polis selain bantuan masyarakat dalam menyalurkan maklumat mengenai jenayah menerusi khidmat
laman web sosial facebook Polis Diraja Malaysia yang dilancarkan Mei lepas.

IPK Selangor yang siap dibina pada 19 Julai 2009 menempatkan, antara lain, IPD Shah Alam, pejabat pengangkutan dan bengkel kenderaan IPK dan IPD, lokap
berpusat, dewan utama, stor barang kes dan bekalan serta mes pegawai.

– Bernama