Penyakit tidak berjankit dan obesiti ancam rakyat Malaysia

Penyakit tidak berjangkit (NCD) dan obesiti kini adalah ancaman utama kesihatan rakyat Malaysia dan perkembangan itu membimbangkan kerajaan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata penyakit ini sebenarnya boleh dicegah sekiranya orang ramai memberi komitmen dan berdisiplin untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

NCD adalah penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, kardiovaskular dan kolesterol tinggi.

“Kira-kira 60 peratus pesakit di hospital kerajaan meninggal dunia disebabkan serangan jantung atau kencing manis selain kanser, katanya pada sidang media selepas merasmikan Klinik 1Malaysia Rejang Park semalam.

Katanya lebih separuh daripada jumlah penduduk yang berusia 18 tahun ke atas juga mengidap hipertensi.

Tambahnya mengikut statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kira-kira 36 juta orang meninggal dunia disebabkan NCD setiap tahun dan angka itu dijangka meningkat sebanyak 17 peratus dalam dekad akan datang.

Berhubung obesiti, Liow berkata Malaysia mencatatkan kadar obesiti tertinggi di kalangan penduduk di Asia Tenggara dan berada di kedudukan keenam di Asia.

“Kesemua penyakit ini boleh dicegah melalui amalan yang betul dengan mengambil makanan seimbang dan melakukan senaman secukupnya.

“Kementerian saya sedang melancarkan kempen di seluruh negara untuk memaklumkan kepada orang ramai tentang bahaya penyakit-penyakit ini dan bagaimana untuk mencegahnya,” katanya.

“Kita juga telah mengadakan mesyuarat dengan pengusaha makanan tentang bagaimana untuk mengurangkan penggunaan gula dan lemak di dalam kandungan produk mereka.”

Mengulas isu lain, Liow berkata ia adalah satu perkara yang membimbangkan kerajaan bahawa antara 2008 dan Ogos tahun ini, kira-kira 1,441 doktor dilaporkan meninggalkan perkhidmatan kerajaan, terutamanya untuk menyertai sektor swasta.

“Tetapi ini adalah fenomena biasa dalam perkhidmatan kesihatan. Dalam kata lain, tegasnya apa yang lebih penting, negara sekarang berupaya melatih antara 3,500 hingga 4,000 doktor setiap tahun berbanding hanya 1,000 pada 2005.

“Persoalannya sekarang ialah bagaimana kita boleh menjamin agihan doktor yang adil untuk ditempatkan di bandar dan di luar bandar berbanding mereka yang lebih suka berkhidmat di bandar-bandar,” katanya.

Nisbah sekarang adalah 1:2000 di Sabah dan Sarawak manakala ia adalah 1:400 di Semenanjung, katanya dan menambah dalam jangka pendek, kontrak doktor asing akan diteruskan untuk dihantar bertugas di kedua-dua negeri.

Sementara itu, Liow berkata kabinet juga baru-baru ini membenarkan doktor pakar berkhidmat selama enam bulan di kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak berbanding setahun, sebelum ini.

– Bernama

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE