Pesara Felcra disaran terus sumbang kepakaran

Pesara Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Negara (Felcra) disaran menyumbangkan kepakaran mereka untuk membantu membangunkan kawasan luar bandar yang masih ketinggalan dari aspek sosiokonomi.

Pengerusinya, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata golongan itu perlu terus produktif serta berdaya maju dengan mencurahkan ilmu dan pengalaman mereka untuk membantu masyarakat agar lebih berkembang dan berjaya.

“Luahkan pengalaman dan kepakaran dengan menyumbang dalam penulisan artikel, buku dan di akhbar-akhbar yang boleh dijadikan rujukan kepada masyarakat.

“Pesara-Pesara juga harus menggiatkan diri dalam menjalankan forum-forum, perbincangan ataupun menjadi ahli panel bagi memajukan masyarakat, lebih-lebih lagi di kawasan perkampungan yang masih kekurangan dari segi kepimpinan agar mencapai taraf ekonomi yang lebih tinggi,” katanya ketika meraikan 153 pesara di seluruh Malaysia pada Majlis Jasamu Dikenang Felcra Bhd 2011 semalam.

Majlis itu bagi merakam penghargaan kepada pesara yang banyak berjasa dan menabur bakti kepada Felcra.

– Bernama

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE