Harimau Muda dapat RM30,000 seorang

Harimau Muda dapat RM30,000 seorang

Skuad Harimau Muda yang memenangi pingat emas Sukan SEA di Jakarta semalam, akan menerima ganjaran RM30,000 seorang daripada Presiden FAM Sultan Ahmad Shah.

Skuad Harimau Muda kendalian jurulatih Ong Kim Swee yang memenangi pingat emas Sukan SEA di Jakarta semalam, akan menerima ganjaran RM30,000 seorang daripada Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah.

Berita itu diumumkan pengurus skuad negara Datuk Hamidin Mohd Amin, malam ini.

“Selepas perlawanan menentang Indonesia semalam, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah bersetuju mengurniakan RM30,000 seorang bagi setiap pemain di atas kejayaan gemilang mereka itu,” katanya.

Dalam perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta semalam, skuad bawah 23 tahun negara itu menewaskan pasukan tuan rumah, Indonesia 4-3 menerusi sepakan penalti, selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan.

Hamidin berkata skuad itu juga akan dihantar ke Sydney, Australia mulai pertengahan bulan Disember bagi menjalani latihan dan mengadakan perlawanan persahabatan dengan kelab-kelab terkemuka di sana.

“Selepas mesyuarat teknikal FAM sebentar tadi, kami telah bersetuju untuk menghantar skuad kendalian Ong Kim Swee ini untuk ke Austalia dan Alhamdullilah Majlis Sukan Negara (MSN) turut menerima dan menyokong hasrat kami ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berharap peminat bola sepak datang beramai-ramai untuk menyokong Skuad Harimau Muda pada perlawanan kelayakan pra-Olimpik menentang Syria di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Beliau berkata setakat ini penjualan tiket bagi perlawanan agak mengecewakan dengan hanya 2,000 tiket telah dijual.

“Sasaran kami ialah 30,000 tiket dijual, namun kami masih mengharapkan agar lebih banyak tiket dibeli peminat menjelang hari perlawanan bagi memberi sokongan kepada Skuad Harimau Muda,” katanya kepada Bernama hari ini.

Tiket bagi perlawanan itu dijual dengan harga RM40 (Grandstand) dan RM20 (Terbuka).

– Bernama