Kampung Wi-Fi: 4000 lagi akan diwujudkan tahun depan

Kira-kira 4,000 kampung Wi-Fi dijangka diwujudkan di seluruh negara pada akhir tahun depan, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata kini terdapat hanya 1,400 kampung Wi-Fi di Perlis, Sabah dan Sarawak.

“Kita juga dalam proses untuk membina menara elektronik di Sabah dan Sarawak, dengan itu hasrat kita untuk mewujudkan Malaysia sebagai sebuah komuniti internet adalah boleh.

“Pada masa yang sama, kita akan beri peluang untuk usahawan kecil dan sederhana mendaftar dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi dalam talian bagi menjalankan projek ini” katanya pada sesi soal jawab selepas pelancaran Dapatkan Perniagaan Dalam Talian Malaysia anjuran Google Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata purata kos projek ini bagi setiap kampung ialah kira-kira RM25,000 hingga RM32,000.

Rais berkata kampung itu akan disediakan dengan sistem perkomputeran biasa dengan kemudahan jalur lebar percuma untuk tiga bulan pertama dan selepas itu dikenakan bayaran minimum RM10 sebulan.

Bagi memperluaskan penggunaan, beliau berkata proses pendidikan dalam aspek perkongsian pengetahuan dan pengalaman oleh agensi berkaitan termasuk Google Malaysia adalah penting untuk meningkatkan lagi pencapaian perniagaan dalam talian di negara.

“Apa yang kurang ialah sistem pendidikan yang sistematik untuk mengajar orang muda kita dan generasi lebih tua mengenai perniagaan dalam talian kerana ia satu budaya yang menjanjikan pulangan besar di samping meningkatkan keyakinan,” katanya.

Beliau mencadangkan bahawa mereka yang ada pengalaman dalam perniagaan dalam talian menghubungi Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV3 dan juga stesen televisyen berbayar, Astro dalam penganjuran aktiviti berkaitan perniagaan kecil dan sederhana secara dalam talian.

“MCMC juga membuat sesetengah kerja bagi menjadikan perniagaan dalam talian berjalan lancar dan mudah dan juga mereka yang melakukan kesalahan akan dipantau,” kata beliau.

Setakat ini, Rais berkata aduan tidak banyak diterima mengenai jenayah membabitkan transaksi dalam talian di negara di mana nilai perniagaan seperti ini menggunakan kad kredit sebenarnya popular sekarang.

“Apabila Akta Perlindungan Data Peribadi Malaysia 2010 berkuatkuasa tahun depan, saya fikir perniagaan seperti ini akan lebih dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan dan malahan adalah lebih baik daripada sebelum ini,” tambah beliau.

– Bernama

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE