Janin bayi lelaki ditemui di Jinjang

Janin bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan ditemui di tepi jalan di Taman Beringin, Jinjang, Kepong semalam.

Janin yang pada mulanya disangka bangkai binatang itu ditemui oleh seorang pekerja Alam Flora yang sedang melakukan kerja mengutip sampah di kawasan perumahan berkenaan pada pukul 7.50 pagi.

“Lelaki berkenaan sedang melakukan kerja pembersihan dan ketika tiba di hadapan tong sampah di hadapan sebuah rumah di Jalan Jinjang Indah 4, Jinjang Utara, dia menemui janin itu.

“Janin bayi itu dianggar berusia lima atau enam bulan,” kata Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan melalui khidmat SMS, semalam.

Beliau berkata terdapat kesan koyak pada leher janin itu tetapi tiada kesan darah dan polis percaya janin bayi itu dibuang di situ dalam tempoh 24 jam lepas.

Zakaria berkata janin bayi itu dihantar ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan lanjut dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

– Bernama