Jabatan Imigresen beroperasi setiap hari pada musim cuti sekolah

Jabatan Imigresen beroperasi setiap hari pada musim cuti sekolah

Jabatan Imigresen Malaysia akan beroperasi setiap hari bagi melancarkan urusan permohonan pasport yang dijangka naik mendadak pada setiap kali cuti sekolah hujung tahun di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Berkuat kuasa hari ini, Jabatan Imigresen Malaysia akan beroperasi setiap hari bagi melancarkan urusan permohonan pasport yang dijangka naik mendadak pada setiap kali cuti sekolah hujung tahun di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Mahmood Adam berkata 12 cawangan di tiga lokasi kritikal itu akan beroperasi setiap hari mulai 8 pagi hingga 1 petang, termasuk Sabtu dan Ahad.

Namun pejabat tidak akan dibuka pada cuti umum.

Beliau berkata cawangan yang terlibat ialah Shah Alam, Subang, Pelabuhan Klang, Sungai Pelik, Kuala Selangor, Puchong dan Kuala Kubu Baharu.

“Tiga lagi ialah di Presint 15, Putrajaya dan cawangan Jalan Duta serta Wangsa Maju di Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mahmood memaklumkan sejumlah 131,582 permohonan pasport dicatat di tiga lokasi itu pada November dan Disember tahun lepas, dengan Selangor paling tingi dengan 69,301 permohonan, Kuala Lumpur (49,232) dan Putrajaya (13,049).

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak bertumpu ke cawangan utama bagi mengelakkan kesesakan.

– Bernama