Rais: Industri perfileman Malaysia bakal berkembang

Rais: Industri perfileman Malaysia bakal berkembang

Industri perfileman negara akan melangkah setapak lagi dengan siapnya Pinewood Iskandar Malaysia Studios di Johor tahun depan, kata Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Industri perfileman negara akan melangkah setapak lagi dengan siapnya Pinewood Iskandar Malaysia Studios di Johor tahun depan, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata studio yang dilengkapi kemudahan dan teknologi moden serta canggih dalam produksi filem itu dijangka meningkatkan mutu filem negara ini.

“Dengan studio dari luar negara, kita akan mendapat pelbagai kemudahan dan teknik baru dalam produksi dan sinematografi yang tinggi mutunya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Malam Kemuncak Festival Filem Malaysia Ke-24 (FFM 24) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini malam tadi.

Pinewood Iskandar Malaysia adalah kerjasama antara Iskandar Malaysia Studios Sdn Bhd, milik penuh Khazanah Nasional Bhd dengan syarikat terkenal dunia Pinewood Shepperton PLC untuk melaksanakan pembangunan kemudahan produksi media bertaraf dunia di Iskandar Malaysia.

See also  Gelly Wee: Bridal bliss with record-breaking event

Studio yang dibina di kawasan seluas 32 hektar, berhampiran Medini di Nusajaya bakal menyediakan 100,000 kaki persegi kawasan pentas filem dan 60,000 kaki persegi studio televisyen.

Sementara itu, Rais berkata industri perfileman Malaysia kian berkembang bukan sahaja dari segi persembahan dan mutu sinematografi tetapi dari segi pasarannya.

“Filem-filem buatan Malaysia seperti Hikayat Merong Mahawangsa dan KL Gangster telah mencapai tahap teknik dan pasaran yang membanggakan.

“Kementerian menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan berusaha menampung beberapa perolehan yang baik,” katanya.

Mengenai FFM 24, Rais berkata ia menjadi penanda aras kepada kualiti skor pencapaian produk berteraskan filem di negara ini apabila 41 filem cereka, 31
filem pendek, enam filem bukan berbahasa kebangsaan dan lapan filem animasi dipertandingkan.

See also  IKAT 2.0: Immersive batik experience arrives in Penang

“FFM 24 merupakan malam mercu penayangan filem-filem tanah air kita. Kita berharap pada tahun hadapan kita peroleh pendekatan baru di mana pengisian budaya akan kita tentukan,” katanya.

Pada FFM 24 ini, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan melalui Finas memperuntukkan wang tunai RM1 juta ditambah dengan pelbagai tajaan dalam bentuk barangan serta perkhidmatan, menjadikan sumbangan dana kali ini mencecah RM6 juta.

– Bernama